Lau Weng San

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku dari DAP, Lau Weng San telah menghina agama Islam dengan memperlekehkan ‘tok lebai’ dalam ucapan perbahasannya.

Beliau yang beberapa kali menyebut salah laku Pas dengan menyebut tok lebai telah menimbulkan rasa tidak puas hati Datuk Sulaiman Abdul Razak (Permatang-BN) yang menyifatkan Weng San menghina Islam.

“Saya minta Kampung Tunku nyatakan nama tok lebai yang dimaksudkan menyalahguna kuasa dan cakap tidak serupa bikin mengenai rasuah.

“Sila nyatakan nama, jangan sebut tok lebai sahaja kerana tok lebai adalah imej seorang yang baik dalam Islam. Saya minta Kampung Tunku tarik balik perkataan tok lebai.

“Kalau tidak (tidak tarik balik) saya minta Dewan ambil tindakan kerana ini menghina agama Islam,” katanya pada sesi perbahasan usul menyembah ucapan terima kasih serta menjunjung kasih ke atas Sultan Selangor di Sidang Dewan Negeri di sini hari ini.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Mohd. Shafie Ngah kemudian meminta Weng San menarik balik kenyataan tok lebai kerana ia memberi imej tidak baik kepada agama Islam.

Mohd. Shafie merupakan ADUN Bangi daripada Pas.

Weng San kemudian menarik balik perkataan tok lebai dan memberitahu beliau menggunakan perkataan itu kerana Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pernah menulis tok lebai dalam twitternya.

“Saya minta maaf sekiranya perkataan tok lebai ini menyinggung orang Islam kerana saya ingat ia disebut oleh MB Selangor. Saya tarik balik,” katanya.

Bagaimanapun, sebelum Dewan berehat jam 1 tengah hari dan di akhir ucapannya, Weng San masih menyebut perkataan tok lebai, tetapi Timbalan Speaker hanya diam walaupun Sulaiman menegur tindakan ADUN Kampung Tunku itu. – MalaysiaGazette