Honda City antara model yang mendapat permintaan pada bulan Julai lalu.

KUALA LUMPUR – Penerimaan baik rakyat Malaysia terhadap jenama Honda membolehkan syarikat pengeluar kereta Jepun itu melakukan penghantaran kenderaan ke 600,000 unit hari ini selepas 14 tahun memulakan operasi pemasangan tempatan di kilangnya dekat Alor Gajah, Melaka.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Sdn. Bhd., Katsuto Hayashi berkata, pihaknya teruja dengan sokongan pengguna tempatan.

“Buat masa sekarang, kita mempunyai dua saluran pengeluaran di kilang ini dengan pengeluaran pertama memulakan operasi pada tahun 2003 manakala saluran pengeluaran kedua pada tahun 2014.

“Kami mencapai pengeluaran 300,000 unit dalam tempoh hanya tiga tahun, berbanding 11 tahun untuk mencatat pengeluaran dengan jumlah yang sama sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Majlis pengeluaran 600,000 unit dan jualan mencecah 100,000 unit dilakukan di kilang syarikat itu di Pegoh, Alor Gajah hari ini.- MalaysiaGazette