S. Vell Paari

KUALA LUMPUR – MIC memuji tindakan bijak kerajaan yang membuat ketetapan untuk tidak membentangkan bil Rang Undang-Undang 355 (RUU355) di Parlimen selepas ini.

Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengekalkan usul pindaan undang-undang mahkamah syariah itu sebagai bil persendirian menerusi konsensus Barisan Nasional dialu-alukan Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari.

“Tindakan Najib merupakan satu perkembangan positif dalam perkara itu yang telah megakibatkan suasana tidak selesa dalam kalangan parti komponen BN selama ini.

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Presiden MIC, MCA, Gerakan dan semua parti mewakili Sabah dan Sarawak kerana berdiri teguh meluahkan bantahan pindaan RUU355,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Malah Vell Paari berkata, semangat konsensus BN mengenepikan sokongan terhadap RUU355 bukti BN sentiasa bersikap profesional dalam mengendalikan isu sensiti dan segala perkara boleh diselesaikan menerui perbincangan dan rundingan bersama.

Justeru katanya, dalam hal ini usaha, kerjasama dan pendirian bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem semasa pentadbirannya turut membantah pelaksanaan hudud di Sarawak dengan mengambil kira kepentingan pelbagai kaum di negeri itu juga perlu dipertimbangkan di Semenanjung.

Tindakan berani Adenan memberi kekuatan kepada pemimpin parti komponen BN untuk terus tidak bersetuju dengan cadangan pindaan RUU355 oleh kerajaan.

“Akhirnya menerusi konsensus BN, keputusan telah dicapai tanpa sebarang percanggahan dan pertelingkahan antara parti-parti komponen BN secara matang,” katanya.

Bagaimanapun, dalam masa yang sama DAP jelas sebuah parti hipokrit dalam soal hudud di negara ini.

“Di satu sudut, Anthony Loke (Setiausaha Organisasi DAP) mendakwa komuniti bukan Islam tak perlu takut dengan Hudud manakala di sudut lain Kit Siang pula menularkan berita bukan Islam perlu bimbang akan soal hudud dan percanggahan pendapat ini membuktikan DAP menipu rakyat demi kegilaan kuasa,” tegasnya.- MalaysiaGazette