Para wartawan dan jurugambar menunggu di Kompleks Bunga Raya KLIA.

SEPANG – Kira-kira lebih 200 pengamal media dan wartawan berkampung di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sempena kepulangan sembilan rakyat Malaysia yang dihalang keluar daripada Korea Utara baru-baru ini.

Kompleks ini mula dibanjiri media sejak jam 2.30 pagi tadi sebaik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung berita gembira itu.

Kira-kira 8.30 malam ini, Najib mengumumkan bahawa sembilan rakyat Malaysia yang masih berada di Korea Utara telah dibenarkan meninggalkan negara itu.

Sembilan rakyat Malaysia yang dibenarkan meninggalkan Korea Utara berlepas dari Pyongyang pada 7.45 malam ini waktu Malaysia dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pukul 5 pagi nanti.

Pada 7 Mac, Pyongyang menghalang 11 rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu, yang menyebabkan Kuala Lumpur mengambil tindakan serupa terhadap rakyat Korea Utara di Malaysia.

Namun, dua rakyat Malaysia yang bertugas dengan Program Makanan Sedunia (WFP) di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan mengikuti kursus WFP di Pyongyang, dibenarkan meningggalkan negara itu pada 9 Mac lepas dan menuju ke Beijing, China.

Selepas 46 hari episod pembunuhan itu mengambil  tempat, hubungan antara Malaysia dan Korea Utara agak tegang akibat kes pembunuhan Kim Jong nam.

Segalanya bermula susulan pembunuhan seorang lelaki, Kim Chol, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ketika menunggu penerbangan ke Macau pada 13 Februari lepas.

Lelaki itu, yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Kim Jong-nam iaitu abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, mati akibat mukanya dilumur dengan agen saraf VX oleh dua wanita warga asing.

Jong-nam, yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. -MalaysiaGazette.

Tinggalkan Jawapan