Syed Hamid Albar (tengah) bergambar bersama sebahagian 300 pemandu teksi yang menerima lesen teksi individu di Subang pada tahun lepas.

PETALING JAYA – Bacaan kali pertama pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang melibatkan perkara berhubung perkhidmatan e-hailing (Uber, Grabcar dan sebagainya) akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat tidak lama lagi.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, Kabinet telah bersetuju untuk membawa usul tersebut ke Parlimen pada sesi ini.

Jelasnya, pindaan-pindaan tersebut bakal menyediakan “padang” yang sama rata kepada pemandu teksi, Uber, Grabcar dan seumpamanya.

Ini menurut beliau akan menjadikan pemandu-pemandu teksi yang selama ini terjejas akibat kehadiran perkhidmatan e-hailing boleh bersaing secara kompetitif dan pada masa yang sama menyaksikan perkhidmatan e-hailing yang selama ini dijalankan “secara haram” kerana tidak tertakluk kepada peruntukan undang-undang pengangkutan awam dapat dimasukkan ke dalam sistem.

“Dengan adanya pindaan ini, pemandu-pemandu e-hailing juga perlu melakukan pemeriksaan Puspakom, perlu ada kad nama pemandu dan sebagainya.

“Pindaan ini juga akan menjadikan perkhidmatan e-hailing sebagai perkhidmatan yang dibenarkan di bawah peruntukan undang-undang.

“Dalam masa yang sama, pemandu-pemandu teksi yang mempunyai permit individu juga boleh bersaing secara kompetitif dengan perkhidmatan e-hailing kerana mereka juga boleh menawarkan perkhidmatan yang sama, justeru harga caj yang dikenakan oleh pemandu teksi mungkin boleh dikurangkan berbanding ketika ini yang mana mereka tertakluk kepada caj tertentu yang telah ditetapkan kerajaan.

“Namun untuk menawarkan caj seperti Uber atau Grabcar, pemandu teksi tidak boleh mengambil penumpang sesuka hati di tepi jalan, mereka perlu menggunakan aplikasi e-hailing. Jika tidak menggunakan aplikasi tersebut, mereka perlu mengambil caj yang telah ditetapkan kerajaan seperti sekarang.

“Maknanya, pemandu teksi sudah ada pilihan, katanya semasa sidang media selepas menyampaikan lesen teksi individu kepada 300 pemandu teksi pertama yang layak dan telah menamatkan kontrak pajakan mereka di sini hari ini.

Perkhidmatan e-hailing mencetuskan kontroversi beberapa tahun kebelakangan ini kerana beroperasi di bawah lesen individu sedangkan ianya adalah sebuah perkhidmatan pengangkutan awam di mana terdapat permintaan daripada pelanggan yang dibuat menerusi aplikasi tertentu manakala pemandu menyediakan perkhidmatan mengambil dan menghantar penumpang menggunakan lesen pemandu individu.

Ini telah menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pemandu teksi kerana kehilangan ramai penumpang yang lebih selesa memilih perkhidmatan e-hailing yang lebih efisien dan murah.

Sedangkan para pemandu teksi terpaksa membayar harga pajakan harian kepada syarikat pemegang permit selain perlu mematuhi caj yang telah ditetapkan kerajaan.

Disebabkan rungutan pemandu-pemandu teksi tersebut yang mahukan persaingan yang lebih adil, Syed Hamid berkata, kerajaan telah bersetuju untuk memberikan 30,000 lesen teksi individu berserta geran tunai kerajaan bernilai RM5,000 kepada pemandu-pemandu yang layak supaya mereka bebas daripada istem pajakan yang ada sekarang.

Ini juga dapat membantu mereka meneroka dunia baharu perkhidmatan pengangkutan awam termasuk menerima tempahan penumpang menerusi aplikasi serta menawarkan caj yang lebih kompetitif. – MalaysiaGazette