Najib Razak

NEW DELHI – Cadangan pembangunan kilang pengeluaran urea dan amonia di Malaysia merupakan antara lima projek bernilai lebih AS$5.3 bilion (RM23.32 bilion) yang dijangka dimeterai semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke sini.

Kilang dengan kapasiti 2.5 juta tan metrik setahun dan khusus untuk bekalan ke India, dijangka menelan belanja US$2 bilion, dengan lokasi dan rakan projek akan diumumkan pada Sabtu, kata seorang pegawai Malaysia.

Selain itu, usaha sama antara sebuah firma Malaysia dan syarikat India dijangka menubuhkan Terminal Pengegasan dan Gudang Terapung bernilai AS$500 juta di Pelabuhan Kakinada, Andhra Pradesh.

MIGHT Technology Nurturing Sdn Bhd (MTN), anak syarikat Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) juga dijadual menandatangani perjanjian dengan Economic Development Board, Andhra Pradesh (APEDB) bagi menubuhkan taman teknologi seluas 40 hektar (100 ekar) di Amravati.

Butiran Memorandum Persefahaman (MoU) dan perjanjian yang lain dijangka diumumkan apabila Najib bertemu dengan rakan sejawatannya Narendra Modi di Hyderabad House di sini pada Sabtu.

Lebih banyak projek juga dijangka diberikan kepada firma Malaysia, dengan media India melaporkan bahawa tujuh tawaran bernilai AS$1.2 bilion hingga AS$1.4 bilion telah dikemukakan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi pembinaan lebuh raya di negeri Rajasthan.

Najib yang tiba di bandar di selatan Chennai pada Khamis dan dijadual terbang ke ibu negara pada Jumaat, juga akan melawat ibu negeri Rajasthan, Jaipur, pada Ahad untuk meneroka peluang-peluang perniagaan dan pelaburan bagi syarikat Malaysia

Sepanjang lawatan rasmi enam hari itu bersempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, Najib akan bertemu ketua-ketua industri di India.

Media tempatan melaporkan India akan memanfaatkan peluang itu untuk melobi projek pemasangan landasan kereta api oleh IRCON International bagi laluan Serendah-Klang-Seremban.

Firma kejuruteraan kereta api India itu baru-baru ini telah menyiapkan landasan berkembar Seremban-Gemas.

Perdana Menteri juga dijangka menghadiri majlis makan tengah hari perniagaan serta Mesyuarat Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global ketujuh (GSIAC) di sini pada Isnin. – MalaysiaGazette