Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan Lim Kit Siang tidak ada kredibiliti untuk mengajarnya ilmu strategi politik.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) itu berkata, sepanjang 13 pilihan raya umum parti itu tidak pernah dalam sejarah berjaya menumpaskan BN.

“Tidak memerlukan orang yang sungguh bijaksana untuk mengetahui bahawa Kit Siang telah 13 kali gagal untuk mengalahkan BN.

“Sebaliknya pemimpin-pemimpin lain akan melepaskan jawatan mereka meskipun kalah buat kali pertama,” katanya melalui akaun Twitter beliau hari ini.

Beliau mengulas catatan Kit Siang yang juga Penasihat DAP dalam blognya yang sedia menawarkan kelas percuma kepada Abdul Rahman bagi mengajar mak­sud sebenar peranan strategi politik.

Kit Siang mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu melakukan kesilapan strategi dalam usaha menggugat DAP.

Abdul Rahman sebelum ini menasihati Kit Siang supaya berundur dan memberi laluan kepada seorang lagi pemimpin DAP, Tan Seng Giaw yang disifatkan sebagai seorang ahli politik lebih berprinsip.

“Kit Siang seharusnya sedar diri bahawa beliau bukan sebahagian daripada penyelesaian, sebaliknya sebahagian daripada masalah.

“Strategi Kit Siang telah menggagalkan dirinya sendiri, bagaimana hendak belajar ilmu strategi daripada beliau,” katanya.- MalaysiaGazette