Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menggubal undang-undang baharu berkaitan rokok seludup dalam masa terdekat, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, tindakan itu perlu kerana rokok seludup yang dibawa masuk ke negara ini semakin berleluasa.

Malah rokok seludup turut memudaratkan apabila kandungan rokok tersebut diragui kandungannya.

“Kita akan buat satu akta baru yang akan diperkenalkan oleh pihak Kastam Diraja Malaysia pada sesi Parlimen akan datang untuk kita kenakan tindakan undang-undang pada mereka yang jual rokok haram.

“Kalau kita jumpa rokok seludup kita akan denda dan hukum penjara supaya tidak ada orang jual rokok seludup. Ini memudaratkan kesihatan terutamanya apabila dijual murah maka budak-budak sekolah pun boleh beli,” katanya kepada media selepas merasmikan program komuniti sihat tanpa asap rokok di Dewan Komuniti MIC Kampong Pandan hari ini.

Mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 pesalah yang didapati bersalah memiliki rokok seludup boleh disabitkan kesalahan didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Namun tiada kesalahan dalam akta berkenaan yang boleh dikenakan terhadap penjual rokok seludup buat masa ini.

Oleh itu, tindakan dan operasi bersepadu Kastam Diraja Malaysia dengan agensi berkaitan akan dipergiatkan pihaknya untuk membanteras import rokok haram di negara ini.

“Dari segi rokok seludup ini telah mencecah 50 peratus daripada jumlah yang digunakan di negara ini. Bermakna duti eksais kita sudah banyak hilang.

“Bila kita tingkatkan duti eksais ini akan mengurangkan orang isap rokok dan kurang penyakit berkaitan rokok maka kerajaan boleh jimat kos perubatan,” katanya lagi.

Ujarnya undang-undang baru berkenaan akan dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi. -MalaysiaGazette.