Shahrum Mohd Sharif

SHAH ALAM – Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Selangor mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang menjalankan kempen melarang penggunaan beg plastik.

Sebaliknya, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd. Sharif, penguatkuasaan itu kini telah bertukar kepada kempen menjual beg plastik.

“Kempen ini tidak berjaya sebaliknya makin membebankan rakyat kerana terpaksa menambah bayaran bagi beg plastik ketika membeli belah di pasar raya.

“Kerajaan negeri juga tidak menyatakan dengan jelas sumber keuntungan daripada jualan beg plastik itu digunakan,” katanya mencelah sesi penggulungan oleh Exco Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar negeri, Elizabeth Wong Keat Ping.

Kata Shahrum, larangan penggunaan beg plastik itu menjadi ‘durian runtuh’ kepada pemilik pasar raya untuk menjual bahan itu kepada orang ramai.

Jelasnya, apabila kerajaan negeri menyedari penguatkuasaan atau kempen melarang penggunaan beg itu gagal, mereka sepatutnya mengeluarkan arahan baharu iaitu menghapuskan caj 20 sen.

Ini kerana, harga satu beg plastik tidak sampai pun lima sen tetapi dijual dengan harga 20 sen kepada rakyat.

Beliau turut mendesak kerajaan negeri supaya lebih pro aktif dengan memikirkan alternatif lain dalam kempennya hendak menyelamatkan pencemaran bumi Selangor. – MalaysiaGazette