Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menyangkal tuduhan yang didakwa dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa Pulau Pinang merupakan negeri yang menolak pelaburan asing.

Menurut Saifuddin, adalah memalukan Najib merangkap Menteri Kewangan tidak menilai beberapa statistik dan laporan daripada (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) 2016 terlebih dahulu sebelum menuduh ekonomi Pulau Pinang teruk di bawah pentadbiran Lim Guan Eng.

“Jika Najib tuduh pelabur luar lari meninggalkan Pulau Pinang, mengapakah ekonomi negeri ini semakin berkembang pesat? Tidakkah Najib tahu bahawa faktor tarikan pelabur asing adalah bergantung pada kedudukan ekonomi semasa, insentif pelaburan, potensi pulangan, tata kelola yang baik, bebas rasuah dan kestabilan politik?

“Menurut MIDA, sebanyak 106 pelaburan baru dibawa masuk dengan nilai tambah sebanyak RM4.29 bilion. Sebanyak 71 peratus daripada nilai ini adalah pelaburan asing. Kenyataan ini bercanggah bahawa ramai pelabur luar lari dari Pulau Pinang,” kata Nasution dalam satu kenyataan hari ini.

Belaiu yang juga Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kini negeri itu berada pada kedudukan keempat daripada segi nilai pelaburan masuk paling banyak pada tahun lepas.

Dengan keluasan yang kecil, prestasi Pulau Pinang lebih mapan dan kompetitif berbanding dengan sebahagian besar negeri-negeri yang diperintah oleh UMNO di Kedah dan Melaka, tambah beliau.

“Dalam tempoh lima tahun, sumbangan Pulau Pinang terhadap Keluaran Dalam Kasar Negera (KDNK) begitu memberangsangkan. Pada tahun 2015, Pulau Pinang menyumbang 6.6 peratus kepada KDNK, berbanding sekitar 5.5 peratus pada tahun 2010.

“Tambahan pula, Pulau Pinang menyumbang 12.8 peratus kepada sektor pembuatan negara pada tahun 2015. Statistik ini diiktiraf oleh Jabatan Perangkaan Negara yang beroperasi di bawah Kerajaan Persekutuan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan