Khalid Samad disebut-sebut bakal menjadi menteri baharu kerajaan PH.
Khalid Samad

KUALA LUMPUR – Khalid Samad yang dipilih menjadi moderator debat Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazri Aziz mahu ia diteruskan dan mencadangkan polis menjadi jawatankuasa penganjur.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam itu, penglibatan polis membolehkan pihak berkuasa itu memilih sendiri kawasan mana yang sesuai untuk dijadikan lokasi debat antara bekas perdana menteri dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu.

“Saya ingin melontarkan dua cadangan bagi memastikan debat ini berjalan dengan aman. Pertama program debat ini dianjurkan oleh polis dan dilakukan di lokasi pilihan pihak polis.

“Kedua program debat ini dilakukan secara siaran langsung atau Facebook live tanpa penonton di lokasi dan INVOKE merupakan penganjur yang sesuai,” kata Khalid yang juga Pengarah Strategik Parti Amanah Negara dalam satu kenyataan hari ini.

Debat antara Nazri dan Mahathir yang sebelum ini telah dirancang diadakan pada 25 Mac lalu namun telah ditunda kepada 7 April di Shah Alam.

Bagaimanapun, permit tersebut dibatalkan setelah mendapat arahan daripada Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat petang Sabtu lalu.

“Saya cukup terkilan dengan tindakan pihak polis yang membatalkan permit debat antara Mahathir dan Nazri yang sepatutnya dijadualkan pada Jumaat ini di Shah Alam, Selangor.

“Bagi saya, debat ini tetap perlu diteruskan bagi mendidik rakyat akan nilai-nilai demokrasi melalui perbahasan secara matang,” katanya.

Terdahulu, pihak polis menyatakan bahawa tindakan pembatalan debat ini adalah bagi memastikan ketenteraman awam selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, menurut Khalid, sebagai sebuah negara yang sudah lama mengamalkan demokrasi dan menjunjung hak kebebasan bersuara mengikut Perlembagaan Persekutuan, ianya tidak sepatutnya dibatalkan oleh polis. – Malaysia Gazette.

Tinggalkan Jawapan