Dr. Amini Amir Abdullah
Dr. Amini Amir Abdullah

KUALA LUMPUR – Majlis Eksekutif Negeri dan Pejabat Penasihat Undang-Undang Pulau Pinang diharap dapat merealisasikan urusan pejabat mufti negeri itu berhubung fatwa mengharamkan umat Islam menyertai pertandingan ratu cantik.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr. Amini Amir Abdullah berkata, kenyataan tegas Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Muhammad Noor mengenai fatwa berkenaan bersandarkan tegahan Allah dalam al-Quran.

Kata beliau, pertandingan ratu cantik tidak sekali-kali meninggikan maruah dan martabat wanita sebaliknya merendahkan maruah mereka, dieksploitasi sebagai objek seks serta tidak memberi sebarang faedah untuk pembangunan sosial.

Bahkan, menurut Amini, menyertai pertandingan yang menayangkan tubuh tanpa pakaian lengkap itu adalah satu dosa besar kerana mendedahkan aurat kepada bukan mahram.

“Kita percaya majoriti umat Islam di negara ini pun tidak mahu melihat kemungkaran terus bermaharajalela dalam negara ini melalui pertandingan ratu cantik yang jelas diharamkan oleh Islam.

“Perkasa menyokong penuh inisiatif Datuk Mufti Pulau Pinang selaku Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri membawa fatwa tersebut kepada Penasihat Undang-undang Negeri untuk dijadikan sebagai undang-undang negeri,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Semalam, Dr. Wan Salim dilaporkan berkata, umat Islam akan diharamkan daripada menyertai apa juga pertandingan ratu cantik di Pulau Pinang dan satu fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa sudah mendapar perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, memandang Yang diPertuan Agong sudah menerima perkenan, fatwa itu akan dibawa ke Penasihat Undang-Undang Negeri untuk dijadikan undang-undang negeri.

Menurut Dr. Amini, pihak berkuasa agama dalam negara ini juga harus mengambil tindakan sama dan tegas dalam konteks penguatkuasaan undang-undang berhubung sebarang pelanggaran fatwa. – MalaysiaGazette