Najib buat keputusan betul untuk tidak ambil alih pembentangan usul pindaan RUU 355.

KALUT ribut sungguh pasal kenyataan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) beritahu wakil kerajaan tidak akan bentang Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) di Dewan Rakyat.

Betullah Datuk Seri Najib Tun Razak kata itu. Apa nak dikalut ributkan?

Pihak mana yang mulakan cadangan itu dulu kalau tidak Pas. Jadi, biarlah Pas yang bawa usul persendirian itu ke Dewan Rakyat. Kenapa pula perlu kerajaan BN hendak ambil alih?

Pada saya, keputusan Najib itu betul. Cuma yang nampak tidak betulnya bagi belah pembangkang. Mereka sentiasa saja cari jalan nak spin supaya RUU 355 jadi isu walhal cadangan pindaan RUU 355 bukan isu besar pun.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak Jun tahun lalu lagi sudah kemukakan usul persendiriannya di Dewan Rakyat. Kemudian bila diizinkan oleh speaker, dia minta tangguh.

Dia kemuka lagi kali kedua pada sidang Dewan Rakyat Disember lalu, speaker benarkan dan dia minta tangguh lagi.

Sepanjang tempoh penangguhan itu, Abdul Hadi cuba melobi ahli-ahli Parlimen beragama Islam, tidak kira dari UMNO, PKR, DAP (ada dua MP Islam), Parti Amanah Negara (PAN) atau dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Setakat ini, saya nampak hanya  UMNO sahaja yang tunjuk tanda solidariti dan sokongan dengan cadangan pindaan itu. Wakil parti-parti lain senyap membisu. Hanya wakil PAN sahaja yang nampak agak bising sedikit, tidak setuju.

Jadi, suara-suara kelam kabut selepas PM umum kerajaan tidak akan ambil alih untuk bentang RUU 355 ialah PAN. Yang lain diam seribu bahasa. Mungkin mereka ambil sikap tunggu dan lihat atau merasakan berdiam adalah jalan paling selamat.

Macam-macam suara sumbang menerjah telinga rakyat. Antaranya, Pas kena main UMNO, Pas kena kencing UMNO dan Pas kena tipu UMNO. Tak pasal-pasal UMNO dipersalahkan.

Lebih menghangatkan keadaan, media-media sosial pro mereka. Ditokok tambahnya ayat-ayat sesedap rasa untuk tarikan pembaca dan mereka sewenang-wenangnya meraikan fitnah di alam maya.

Yang peliknya, empunya tubuh badan relak sahaja. Mereka tenang berdepan dengan situasi yang dimainkan bekas rakan mereka ini. Mereka tidak langsung gelabah.

Abdul Hadi ketika menjawab pertanyaan wartawan di Rusila, Marang, tidak pula melenting pada Najib.

Beliau langsung tidak salahkan UMNO. Dia tahu tidak ada sebab cadangan usul pindaan itu diambil alih oleh kerajaan. Usul itu usul dia. Biar dialah yang bawa.

Pemimpin-pemimpin Pas yang lain pun tenang juga. Datuk Takiyuddin Hassan, Nasruddin Hasan dan yang lain-lain biasa saja. Hanya PAN yang bising. Kenapa?

Pada pandangan saya, PM hanya kata kerajaan tidak akan bentang (RUU 355). Itu saja. Dia tidak kata wakil rakyat UMNO tidak akan sokong atau tidak boleh sokong dan dia pula tidak sekali-kali melarang orang-orangnya menyokong atau tidak. Dia tahu itu hak ahli parlimen masing-masing.

Sama macam kita, rakyat. Pada hari mengundi, nak keluar mengundi atau tidak itu hak kita. Kalau kita rasa ada tanggungjawab kepada negara, kita keluar mengundi.

Soal siapa kita nak undi, itu terpulang pada kita. Calon yang bertanding tidak wajib tahu.

Begitu juga di Dewan Rakyat nanti. Selepas pindaan usul itu dibentangkan sama ada pada sesi sidang ini atau sesi sidang akan datang, dan selepas melalui sesi perbahasan terpulanglah kepada wakil rakyat beragama Islam nak sokong atau tidak.

Kenapa pembangkang kalut sangat pasal isu RUU 355? Takut Pas akan dapat kredit atau sokongan tidak berbelah bahagi daripada rakyat jika RUU 355 yang dibawa itu berjaya melalui proses pendemokrasian?

Saya tahu pembangkang pun tahu pasal itu dan pasal peraturan dewan tetapi nama lagi pembangkang. Kalau tidak membangkang, bukan pembangkanglah namanya.

Seboleh-bolehnya mereka mahu bangkang sepanjang masa, tidak kira perkara itu betul atau tidak.

Saya cuma nak ingatkan pembangkang. Jangan takut pada bayang-bayang sendiri. Kena sedar diri. PAN wujud kerana menumpang tuah Pas begitu juga dengan PPBM, kewujudannya kerana menumpang atas tiket UMNO sebelum ini.

Berdasarkan fakta, Parlimen mempunyai seramai 222 ahli parlimen dan daripada jumlah itu 136 adalah beragama Islam dan 86 lagi bukan beragama Islam.

Daripada ahli parlimen beragama Islam itu, UMNO ada 85 orang, PKR ada 16 orang, Pas ada 14 orang, Parti Bersatu Sabah (PBB) ada 10 orang, PAN ada enam orang, DAP ada dua orang dan masing-masing satu dari Parti Warisan, PPBM dan Bebas.

Untuk rekod, takut-takut pembaca tertanya-tanya siapa pula ahli parlimen Islam dari DAP. Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz. – MalaysiaGazette