Anina Saaduddin

PETALING JAYA – Nama Anina Saaduddin tidak tersenarai dalam barisan kepimpinan sayap Srikandi Malaysia (Srikandi) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diumumkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Sebaliknya, bekas Ketua Puteri UMNO Bahagian Sepang, Rina Mohd Harun dilantik secara rasmi untuk mengetuai sayap Srikandi PPBM.

Ditanya mengenai ketiadaan nama Anina dan juga tindakan bekas pemimpin parti itu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menubuhkan parti baharu, Parti Generasi Baru (NewGen Party), beliau berkata, pihaknya akan berjumpa dengan mereka yang tidak berpuas hati untuk menjelaskan perjuangan PPBM.

“Dalam politik, ada yang suka, ada yang tak suka. Ini adalah politik dan satu cabaran kepada kita,” katanya ringkas pada sidang media mengumumkan pelantikan barisan kepimpinan sayap Srikandi Malaysia di ibu pejabat PPBM di Menara Yayasan Selangor di sini, hari ini.

Pada Disember tahun lalu, nama Anina mendapat perhatian media sosial kerana dikatakan terlibat dalam skandal seks dengan seorang lelaki, dipercayai pembantunya.

Serentak itu, beliau dikaitkan dengan PPBM yang ketika baru ditubuhkan dan secara tidak langsung telah mencemarkan nama parti.

Pada masa sama, PPBM juga menyaksikan tindakan Khairuddin yang menarik diri daripada parti itu dengan alasan mahu menumpukan pada kes mahkamah.

Bagaimanapun, semalam, beliau bersama Datuk Ezam Mohd Noor yang menubuhkan NewGen Party membuat kenyataan memohon untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut mengenai kepimpinan Srikandi itu, Muhyiddin berkata, sebahagian besarnya mereka adalah yang berjuang menggerakkan sayap itu ketika di peringkat awal penubuhan lagi.

“Sebahagian besar yang menggerakkan Srikandi ini ada dalam PPBM,” katanya yang memuji kecemerlangan kerja ditunjukkan Rina apabila berjaya melantik anggota Exco dalam tempoh satu bulan yang diberikan kepadanya.

Menjawab soalan ada tuduhan mengatakan Muhyiddin dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir melantik krooni untuk menerajui sayap Srikandi, beliau menafikan sekeras-kerasnya serta menganggapnya sebagai politik pihak tertentu.

“Itu tanggapan mereka. Sebahagian besar yang dilantiknya saya tidak kenal pun walaupun mereka ini berada awal dalam parti.

“Pelantikan mereka pula kerana mereka dalam UMNO atau ikut saya keluar UMNO. Tuduhan itu tidak tepat kerana kita tidak pilihan sesiapa pun.

“Mereka ini sebahagiannya dicadangkan oleh pimpinan peringkat negeri dan bahagian. Mereka juga melalui beberapa ujian dan tapisan. Yang berjaya ini tidak ada krooni sesiapa,” ujar beliau.

Beliau berkata, PPBM perlu terus maju ke depan tanpa memikirkan masalah di belakang kerana matlamat utama perjuangan parti itu ialah mengalahkan Barisan Nasional (BN). – MalaysiaGazette

Comments are closed.