KUALA LUMPUR – Tiga pemain bola sepak Malaysia Indian Football Association (MIFA) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana disyaki mengambil wang rasuah daripada bookie sebagai habuan untuk menentukan keputusan perlawanan bola sepak Piala Liga Perdana Malaysia.

Siasatan awal yang diperoleh mendapati suspek-suspek telah menerima wang rasuah antara RM10,000 hingga RM 30,000 daripada bookie untuk menentukan keputusan perlawanan.

Salah seorang pemain yang ditahan adalah pemain luar negara berusia 29 tahun yang diimport oleh MIFA. Dua lagi pemain tempatan yang ditahan berumur 26 and 27 tahun.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek-suspek telah terlibat dalam kegiatan tersebut sejak beberapa tahun yang lalu.

Suspek-suspek ini dipercayai telah mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit hasil daripada wang rasuah diterima itu.

Kemungkinan lebih ramai lagi yang akan ditangkap berhubung siasatan kes tersebut pada masa terdekat

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata SPRM tidak bertolak ansur dengan perbuatan sedemikian yang boleh menjatuhkan reputasi sukan negara.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, SPRM akan terus memantau dan menyiasat pemain-pemain bola sepak serta akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perlu,” tegas beliau. – MalaysiaGazette