ABDUL HADI AWANG

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Hadi dijadual membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian untuk memperkukuhkan perundangan Mahkamah Syariah di Dewan Rakyat hari ini.

Pembentangan itu berada dalam senarai pertama Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul.

Abdul Hadi dijadual membentangkan cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Akta atau RUU355 tengah hari ini selepas sesi Soal Jawab.

Beliau akan mencadangkan Pindaan Seksyen 2 Bidang Kuasa Jenayah 1965 (Akta 355) dipinda dalam proviso kepada Seksyen 2 dengan menggantikan perkataan ‘penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali’.

Ia akan digantikan dengan perkataan ‘penjara selama tempoh melebihi tiga puluh tahun atau denda melebihi satu ratus ribu ringgit atau sebatan satu ratus kali sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah Syariah’.

Minggu lalu, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak akan membentangkan RUU355.

Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, keputusan dibuat berdasarkan konsensus dalam BN.

Lantaran itu, RUU 355 kekal menjadi rang undang-undang persendirian. – MalaysiaGazette