Shahril Ridza Ridzuan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pelaburan baharu dalam hartanah luar negara dengan mengambil alih pegangan besar dalam projek pembangunan oleh syarikat Malaysia di Australia.

KWSP membayar A$154 juta bagi 49 peratus kepentingan dalam Yarra Park City Pty Ltd. (YPC) yang memegang hak bagi pembangunan bercampur di atas tanah seluas lima ekar bernilai lebih RM9 bilion di Melbourne.

Baki 51 peratus kepentingan lagi dimiliki oleh PJ Development Holdings Bhd. (PJD) yang merupakan anak syarikat OSK.

Projek di Melbourne itu merupakan penglibatan kedua KWSP di dalam pembangunan luar negara selepas projek Battersea di London.

Dalam kenyataannya, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, projek Melbourne Square menepati objektif jangka panjang KWSP dan merupakan penambahan yang baik kepada portfolio luar negara badan itu.

“Peningkatan permintaan terhadap hartanah kediaman di Melbourne membolehkan KWSP menjana pulangan kepada ahli-ahlinya,” katanya.

OSK pula berkata, pembangunan Melbourne Square akan menukar sebuah tapak letak kereta yang dikelilingi oleh Westgate Freeway dan Kavanagh, Balston dan Power Streets di Southbank kepada sebuah pembangunan bercampur dan pusat jualan dengan nilai pembangunan kasar sebanyak A$2.8 bilion (RM9.4 bilion).- MalaysiaGazette