Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia diiringi Timbalan Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Roland Kiandee (kanan) dan Pengerusi Seminar Wanita Dan Pembangunan : Merapatkan Jurang, Datuk Dr. Noraini Ahmad (tiga dari kanan) ketika tiba bagi merasmikan seminar tersebut yang dianjurkan oleh Commonwealth Women Parliamentrians (CMO) di Parlimen Malaysia. foto SAFWAN MANSOR, 07 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjangkakan semua ahli parlimen Pas mahu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau Akta 355 yang dibawa presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibahaskan semalam.

Katanya, Pas perlu membahaskannya kerana mereka memerlukan sokongan daripada parti komponen Barisan Nasional dan parti gabungan Pakatan Harapan (PH) bagi merealisasikan rang undang-undang persendirian itu.

“Saya rasa Pas pun mahu perkara ini dibahaskan seterusnya diundi. Mereka mahu sokongan daripada parti komponen lain (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Bagi saya, saya bersikap adil kerana ada juga antara Ahli Parlimen BN mahu mencelah dan berbahas. Umpamanya saya menyenangkan hati satu puak sahaja bermakna saya tidak bersikap adil.

“Tugas speaker bagi saya penanda aras adalah semua yang hadir itu tidak bersetuju, maka itulah yang seadilnya,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan Tantawi berkata, beliau dan ahli -ahli parlimen Pas yang lain sudah bersedia untuk berbahas selepas pindaan tersebut dibentangkan Abdul Hadi.

“Speaker (Tan Sri Pandikar Amin Mulia) menangguhkan perbahasan pada jam 4.00 petang sejurus selesai ucapan YB Kota Bharu (Datuk Takiyuddin Hassan) yang menyokong usul pindaan Akta 355 oleh YB Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang).

“YB Kuala Nerus (Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali) dan saya sendiri telah bersedia untuk mengambil bahagian pada sidang kali ini nampaknya terpaksalah kami jugak menangguhkan perbahasan kami ke persidangan akan datang yang dijangka pada bulan Jun,” katanya dalam satu kenyataan.

Pandikar semalam memutuskan menangguhkan pindaan RUU355 selepas Takiyuddin selaku Ahli Parlimen Kota Bharu menyokong usul berkenaan.

Menurut Pandikar, beliau berkuasa penuh untuk menentukan perjalanan mesyuarat dewan dan membuat keputusan berdasarkan kuasa yang ada padanya.

Sidang Dewan Rakyat semalam berakhir sejam lebih awal daripada kebiasaan atas alasan Pandikar dan kakitangan keletihan selepas sesi Dewan Rakyat pada hari sebelumnya berkahir jam 5.05 pagi bagi memberi laluan kepada usul daripada kerajaan. -MalaysiaGazette.

Tinggalkan Jawapan