Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bimbang mendapat tentangan orang Islam termasuk dalam kalangan parti sendiri hari ini Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulas mengenai RUU355.

Penasihat PKR dan bekas Ketua Pembangkang itu menjelaskan PKR tidak pernah menghalang RUU355 atau pindaan Akta 355 secara prinsip.

“Datuk Seri Abdul Hadi (Awang) dan Datuk Takiyuddin (Hassan) menerangkan di Parlimen bahawa rang undang-undang pindaan kepada Akta 355 (RUU 355) bukanlah percubaan untuk melaksanakan hudud dan jaminan diberi RUU 355 ini tidak terpakai kepada yang bukan Islam sebab dilakukan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Yang ditekankan adalah pemerkasaan mahkamah syariah yang wajar dipersetujui secara prinsipnya oleh semua.

“Yang dikesalkan ialah kesempatan untuk berbahas dinafikan oleh Speaker Parlimen, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana menangguhkan sidang pada jam 4 petang.

“Ini jelas bertentangan dengan amalan demokrasi dan prinsip syura serta perundingan dalam Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar juga percaya Presiden Pas tidak akan keberatan untuk meneruskan perbahasan.

“Kegagalan speaker dan kerajaan Barisan Nasional untuk bertindak serius dalam perkara tersebut memperkukuhkan persepsi bahawa kerajaan sengaja melengahkan dan mengharapkan agar kontroversi akan berlarutan,” ujarnya lagi.

Anwar seterusnya mengulangi kenyataan bertarikh 23 November 2016 oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada tahun lalu, untuk menghormati hak Ahli Parlimen Marang membentang usulnnya dan mendapatkan jawapan tegas daripada Perdana Menteri samada kerajaan sedia membentuk satu Jawatankuasa Pilihan untuk meneliti Rang Undang-Undang pindaan tersebut.

“Setelah menunggu dua tahun, Datuk Seri najib Razak telah menyatakan kerajaan tidak akan mengambilalih RUU tersebut dan membentangnya seperti dicadang atau dengan pindaan atau perubahan, jika ada,” katanya.

PKR, katanya telah menyatakan kerelaan menyertai Jawatankuasa Pilihan untuk meneliti secara menyeluruh pemerkasaan mahkamah syariah yang akan dilaksanakan.

Satu aspek kontroversi dan membimbangkan dalam RUU 355 adalah hukuman yang jauh lebih tinggi daripada yang sedia ada dan perlu penelitian dan pemerincian, katanya.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan