Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

KUALA LUMPUR – Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disifatkan sebagai seorang pemimpin Islam yang mempunyai nilai akhlak dan akidah yang tinggi.

Sikapnya itu jelas terbukti apabila beliau tidak akan berkompromi dengan segala macam korupsi, kata Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu.

“Beliau adalah cantuman antara akhlak dan akidah yang selalu saya sebut dalam ucapan-ucapan saya.

“Pemimpin-pemimpin Islam bercakap soal akidah tetapi akhlak tiada. Orang Islam di Malaysia memperjuangkan soal akidah, itu bagus.

“Tapi akhlak Islam ada pada orang Korea sebab mereka bangun lawan rasuah sehingga setiap Presiden mereka yang terlibat rasuah dihumban keluar.

“Ini akhlak Islam yang ada pada orang Korea tapi akidah ada pada orang Islam,” katanya. yang dikenali sebagai Mat Sabu.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Auditorium Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur, Selangor (KLSCAH) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohmad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu menganggap golongan yang memperjuangkan syariah juga tidak mengambil berat isu korupsi.

“Soal rasuah balasannya neraka tidak diambil berat termasuk mereka yang memperjuangkan hukum syariah itu sendiri.

“(Mereka) tidak menjadikan rasuah sebagai agenda utama untuk mereka lawan.

“Itulah yang berlaku di dunia Islam secara umum sekarang ini menyebabkan mereka terbelakang.

“Hasil minyak yang dianugerahi Allah di dunia Islam terbakar begitu saja tidak dapat dimanfaatkan oleh orang Islam dan manusia sejagat,” ujarnya.

Sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan oleh beberapa orang panel iaitu Penasihat Umum Amanah, Ustaz Ahmad Awang dan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.

Turut menjadi panel pembentang Penyelaras Anwar Ibrahim Research Institute (AIRIS), Ustaz Wan Ji Wan Husin dengan didahului ucaptama oleh Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan