Azizah Mohd Dun

TAWAU – Pembukaan Mahkamah Jenayah Khas untuk mengendalikan kes seksual kanak-kanak tepat pada waktunya memandangkan trend jenayah itu ketika ini memerlukan pengurusan kes yang cepat dan berkesan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, tindakan membuka segera mahkamah khas itu bukan sahaja memastikan kebajikan dan hak kanak-kanak terbela, malahan pesalah laku kesalahan ini dapat dikenakan tindakan segera.

“Kalau ikut mahkamah biasa, kes perlu menunggu giliran dan akan menjadi lambat…kita mahu mereka yang melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak ini diambil tindakan segera dan disabitkan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan himpunan kumpulan selawat wanita Tawau yang turut dihadiri Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Hamisa Samat di sini, hari ini.

Mahkamah itu dijangka bermula di Putrajaya pada Jun depan setelah diputuskan daripada hasil perbincangan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dengan Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif baru-baru ini.

Azizah berkata, masyarakat perlu maklum bahawa kanak-kanak di bawah umur 16 tahun yang terlibat dengan kes seksual meskipun ‘suka sama suka’ tetap dianggap sebagai rogol di bawah undang-undang Malaysia.

“Ibu bapa boleh melaporkan kepada polis jika anak mereka dirogol, namun daripada pengalaman saya, ada banyak kes berlaku yang pada awalnya ibu bapa membuat laporan polis dan kemudian menarik balik kerana anak dan pesalah suka sama suka lalu mereka dikahwinkan,” katanya.

Namun, menurutnya jika keputusan menarik balik laporan ke atas pesalah rogol itu dibuat bagi mengelakkan tindakan diambil ke atas perogol, itu adalah tidak wajar.

“Tetapi kalau sudah keluarga yang mengambil keputusan untuk menarik balik, itu adalah tanggungjawab keluarga itu sendiri, bukan kita yang memberi izin perogol tersebut boleh kahwin dengan mangsanya atau tidak,” katanya. – Bernama