Datuk Rosli Ab Rahman

KUALA TERENGGANU – Polis sedang mengesan pemilik dua akaun Facebook yang didapati telah mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan ke atas Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang kini tular di media sosial.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, pihaknya yang memandang serius tindakan itu akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mengesan pemilik sebenar akaun laman sosial itu.

“Penularan tersebut dikesan sejak petang semalam dan usaha mengesan suspek sedang dilaksanakan. Kita tidak akan berkrompromi dengan mereka yang didapati berbuat demikian,” katanya kepada Bernama.

Difahamkan setakat ini, pihak polis telah menerima dua laporan mengenai perkara itu termasuk daripada wakil media.

Rosli dalam pada itu berkata, maklumat awal mendapati seorang daripada pemilik akaun Facebook itu adalah penuntut di sebuah universiti di Syria dan seorang lagi adalah remaja berasal dari Dungun.

Katanya, polis akan melakukan siasatan mengikut Seksyen 233 (2) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

“Ini bukan kali pertama perkara seperti ini berlaku jadi kita memandang serius sekali gus dapat memberi pengajaran dan peringatakan kepada orang ramai supaya tidak terus mengulangi kesilapan yang sama,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan