Arsenal sedia menawarkan gaji termahal £300,000 seminggu kepada Alexis Sanchez untuk memastikan pemain itu terus kekal di Emirates pada musim akan datang. Foto: the Sun

ENGLAND – The Gunners bersedia menawarkan gaji mingguan sebanyak £300,000 (RM1.64 juta) seminggu untuk memastikan Alexis Sanchez terus terus kekal di Emirates.

Penambahan dalam pendapatan pemain antarabangsa Chile itu bakal menjadikan Sanchez pemain berpendapatan tertinggi dalam Liga Perdana Inggeris.

The Sun di United Kingdom melaporkan Arsenal semakin terdesak untuk menyimpan pemain itu.

Sanchez dilaporkan bakal meninggalkan the Gunners akhir musim ini dengan pendahulu EPL, Chelsea dan Manchester City bersedia untuk merebut khidmat pemain itu.

Sanchez dikatakan sudah kecewa dengan prestasi semasa pasukannya yang bukan sahaja tersingkir dari kempen Liga Juara-Juara Eropah, tetapi kalah empat perlawanan berturut-turut dalam liga sehingga menduduki tangga keenam.

Keadaan itu memaksa Sanchez mengintai peluang untuk beraksi dengan kelab yang mahu menjulang piala dan kejuaraan.

Namun Arsenal yang tidak sanggup kehilangan pemain itu, dilaporkan sanggup menawarkan Sanchez gaji termahal sebagai usaha untuk memastikan dia kekal di Emirates.

Sanchez ketika ini memperoleh gaji sekitar £130,000 (RM718,000) seminggu di Arsenal.

Sekiranya Arsenal gagal dalam usahanya, tawaran berjumlah £50 juta akan dituntut untuk pemain yang berada di penghujung kontraknya yang akan tamat musim depan.

Arsenal kini dalam ketakutan kehilangan beberapa pemain bintang mereka kepada pesaing terdekat dalam liga akhir musim ini.

Mesut Ozil yang menerima gaji mingguan £140,000 (RM772,000) juga difahamkan bakal ditawarkan gaji tinggi seperti Sanchez.

Arsenal kini beza tujuh mata kepada Manchester City yang menduduki tangga keempat liga dan dan hampir pasti bakal terlepas kempen Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Kontrak Pengurus Arsenal, Arsene Wenger juga dalam keadaan terumbang ambing selepas dikritik tajam oleh penyokong ekoran rekod buruk musim ini. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan