Home Dunia Diheret dalam pesawat lebih menakutkan daripada perang Saigon

Diheret dalam pesawat lebih menakutkan daripada perang Saigon

145
0

CHICAGO – Penumpang lelaki United Airlines yang heret keluar daripada pesawat itu menyifatkan pengalamannya sebagai amat menakutkan daripada pengalaman beliau dalam Perang Vietnam.

Peguam Dr David Dao berkata, anak guamnya telah kehilangan dua gigi hadapan dan patah hidung serta mengalami trauma dalam kejadian itu.

Dao akan menyaman mereka yang terlibat, menurut peguam lelaki itu.

Anak perempuan Dao, Crystal Dao Pepper yang membuat sidang akhbar di sini berkata, mereka masih merasi kesakitan dengan layanan yang diterima oleh bapanya.

Dao telah diheret keluar daripada pesawat berkenaan pada petang Ahad lalu kerana penerbangan dari Chicago ke Louisville, Kentucky telah terlebih tempah.

Empat penumpang telah diarah keluar tetapi hanya tiga yang berbuat demikian.

Dao, 69, enggan bangun dari tempat duduknya dan memaklumkan dia mempunyai pesakit untuk diberi rawatan pada keesokan harinya.

Peguam Thomas Demetrio dalam sidang akhbar itu berkata, Dao memberitahu dia telah meninggalkan Vietnam pada tahun 1975 apabila Saigon kalah dalam perang dan berada di atas bot dalam keadaan sangat terkejut.

“Tetapi beliau berkata, diheret dalam pesawat adalah lebih menakutkan dan mengerikan daripada apa yang dialami ketika meninggalkan Vietnam,” menurut Demetrio.

Dao Pepper, yang tinggal di pinggir bandar Chicago, berkata: “Apa yang berlaku kepada ayah saya sepatutnya tidak berlaku kepada mana-mana manusia, tanpa mengira apa juga keadaan.

“Kami terkejut dan sangat sedih apabila mengetahui apa yang berlaku kepadanya,” katanya.

Peguam Dao telah memfailkan permintaan kecemasan daripada mahkamah terhadap syarikat penerbangan itu untuk mengekalkan bukti menjelang perbicaraan pada Isnin ini.

Kes yang difailkan di Mahkamah Illinois, peguam Dao menuntut United Airlines dan bandar Chicago memelihara semua video pengawasan, rakaman suara kokpit, penumpang dan senarai anak-anak kapal yang berkaitan dengan penerbangan.

United Airlines berkata, ia akan membayar balik kos tiket semua penumpang dalam penerbangan Ahad lalu.

Dao telah keluar dari hospital Chicago dan beliau merancang untuk menjalani pembedahan rekonstruktif. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan