Home Ekonomi Duti tambahan produk keluli membebankan

Duti tambahan produk keluli membebankan

KUALA LUMPUR – Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) tidak bersetuju pelaksanaan duti perlindungan muktamad terhadap konkrit keluli (rebar), batang wayar keluli (SWR) dan gegelung keluli (DBIC) kerana ia membebankan peserta industri.

Bebanan itu, kata Presiden MBAM, Foo Chek Lee akan meningkatkan kos projek pembinaan yang akhirnta akan dilepaskan kepada pembeli.

“Kami menentang pelaksanaan duti perlindungan tambahan selama tiga tahun sehingga 13 April 2020.

“Langkah ini akan meningkatkan kos projek-projek pembinaan yang akan ditanggung oleh rakyat. Penguatkuasaan duti pasti akan meningkatkan kos projek-projek pembinaan yang akhirnya akan dilepaskan kepada rakyat,” katanya di sini.

Semalam, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri memberitahu, kerajaan akan mengenakan duti pelindung muktamad untuk tempoh tiga tahun, selaras dengan Seksyen 25, Akta Pelindung 2006.

Keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira kesan ke atas industri tempatan oleh peningkatan import keluli rebar, SWR dan DBIC.

Duti bagi besi rebar akan dikenakan bermula 14 April, bermula dengan 13.42 peratus dan akan dikurangkan kepada 12.27 peratus setahun kemudian, dan kepada 11.1 peratus selepas dua tahun (14 April 2019).

Duti pelindung sebanyak 13.9 peratus akan dikenakan ke atas SWR dan DBIC, mulai 15 April tetapi akan dipotong kepada 12.9 peratus selepas setahun dan akhirnya kepada 11.90 peratus.

Lantaran itu, MBAM berharap kerajaan akan membenarkan pasaran terbuka menentukan harga rebar keluli berdasarkan bekalan dan permintaan khususnya melibatkan keluli import. – MalaysiaGazette