Mah Siew Keong

KUALA LUMPUR – Pelantikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai menteri tugas-tugas khas mampu memperkuatkan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).

Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, beliau tidak melihat pelantikan itu akan menjejaskan hubungan di antara Hishammuddin dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya sangat mengenali kedua-duanya, mereka adalah pemimpin yang baik, mereka sangat mengambil berat terhadap negara dan BN.

“Saya merayu kepada mereka yang menjadi batu api supaya tidak bersikap seperti itu dan berhenti (melaga-lagkan),” katanya pada sidang media di Menara PGRM Cheras, di sini, hari ini.

Akhbar Singapura, The Straits Times pada September lalu melaporkan, ketegangan di antara Zahid dan Hishammuddin, yang juga sepupu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh menyebabkan prestasi Umno terjejas.

Zahid baru-baru ini dilihat dipinggirkan apabila BN membuat keputusan tidak mengambil alih rang undang-undang (RUU) meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Zahid merupakan antara tokoh UMNO yang lantang menyokong usul yang dibawa Pas itu, malah berkata parti Melayu itu akan membentangkan sendiri pindaan itu walaupun ditentang oleh parti komponen lain.

Mengulas lanjut, Siew Keong juga menyifatkan keakraban hubungan di antara Hishammuddin dengan Ahmad Zahid sebagai adik-beradik.

“Ahmad Zahid merupakan salah seorang yang mencadangkan nama Hishammuddin sebagai jawatan menteri tugas-tugas khas ini.

“Saya tidak fikir mereka akan bergaduh, kerana mereka sangat mengenali antara satu sama lain. Saya tidak fikir akan wujud masalah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette