Presiden Parti Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong.

KUALA LUMPUR – Lebih 50 peratus daripada calon Gerakan yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang merupakan muka baharu.

Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, pihaknya sudah memuktamadkan senarai calon Gerakan itu sebelum ia diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diputuskan.

“Dalam PRU14 akan datang, saya sudah meneliti senarai itu terdiri daripada penyelaras kami yang akan dihantar kepada Perdfana Menteri.

“Lebih daripada 50 peratus adalah muka baharu dan pertama kali (jadi calon), mereka ini juga sangat kuat bekerja, saya sangat yakin kesemua mereka,” katanya pada sidang media sempena penganjuran ‘Political Brainstorming on General Election Preparation” di Menara PGRM, Cheras, di sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) dan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Gerakan memperoleh 45 kerusi, 12 daripadanya adalah Parlimen manakala 33 kerusi lagi merupakan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Gerakan merupakan satu-satunya parti komponen Barisan Nasional (BN) yang paling awal memuktamadkan senarai calon mereka bagi menghadapi PRU14 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Siew Keong juga berkata, kesemua calon Gerakan yang telah disenaraipendek itu merupakan penyelaras kawasan yang dilantik sejak dua tahun lalu.

“Kebanyakan penyelaras kami dilantik sejak dua tahun lalu, dan mereka sangat bekerja keras.

“Kami mahu jadi jentera yang kuat dan mendapatkan kekuatan kepada organisasi kami,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Siew Keong juga mengumumkan bahawa penyandang kerusi Parlimen Beruas, Tan Sri Chang Ko Youn tidak akan bertanding pada PRU14 akan datang.

Beliau berkata, tempat Ko Youn itu akan digantikan dengan muka baharu iaitu Phang Chong Kin.

“Sebahagian muka lama telah buat keputusan tidak mahu bertanding seperti Tan Sri Chang Ko Youn yang bekerja keras dalam pilihan raya umum lalu.

“Beliau telah membuat keputusan muktamad bahawa dia tidak akan bertanding pada PRU14 akan datang. Saya yakin Gerakan ada peluang di Beruas nanti,” katanya. – MalaysiaGazette