Gambar hiasan

BATU PAHAT – Pas Johor akan bertanding di lebih 49 kerusi di negeri ini selaras dengan ketegasan Majlis Syura Ulama Pas memutuskan tidak mahu menjalin kerjasama dengan mana-mana parti terutama PKR pada pilihan raya umum akan datang.

Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, bagaimanapun keputusan untuk bertanding berapa kerusi itu bergantung kepada Muktamar Pas yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Jumlah 40 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu ternyata melebihi 38 kerusi yang kita ditandingi pada pilihan raya umum lalu bersama Pakatan Harapan diketuai DAP,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Pas Johor yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Pas Pusat, Dr. Sanusi Daeng Mariok di Parit Sulong di sini.

Dr. Mahfodz berkata, keputusan jumlah kerusi itu bergantung kepada Muktamar Pas kelak sama ada hubungan bersama PKR diputuskan atau tidak atau sebaliknya oleh Majlis Syura Ulama.

Namun, katanya, jika keputusannya Pas bersendirian pada pilihan raya umum kelak, Pas Johor akan bertanding di lebih banyak kawasan, malah mereka juga sudah bersedia termasuk senarai calon yang berpotensi. -MalaysiaGazette.