Presiden Parti Generasi Baru, Datuk G. Kumaar Aamaan (kanan) pada sidang akhbar kha di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR –  Parti Generasi Baru (NewGen Party) meminta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menyiasat Datuk Mohd Ezam dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan kerana didakwa telah merampas dan menyalahguna parti itu.

Kedua-dua mereka didakwa sewenang-wenangnya menukar nama parti itu kepada Parti Bebas Rasuah (PBR) tanpa pengetahuan presiden serta semua ahlinya.

Ezam Mohd Nor
Ezam Mohd Nor

Presidennya, Datuk G. Kumaar Aaman berkata, beliau hanya mengetahui perkara itu setelah membaca kenyataan media bekas Setiausaha Agungnya S. Gobi Krishnan.

“Mereka telah melanggar institusi parti dan melanggar presiden. Tiada panggilan mesyuarat untuk susunan semula parti.

“Kami mahu siasatan dalaman pihak ROS bagi membantu menyelesaikan masalah ini,” kata Kumaar pada sidang media hari ini.

Sidang media itu diadakan berikutan kira-kira 300 ahli NewGen Party keliru dengan perjuangan baharu PBR yang cenderung menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan negara.

“Penukaran NewGen Party kepada PBR juga tidak mendapat mandat ROS. PBR juga menghentam dan memberi anggapan negatif kepada negara terutama Perdana Menteri.

“Parti kami adalah penyokong BN (Barisan Nasional) dan PM. Kami tak akan buat sedemikian,” kata Kumaar.

Kumaar menjelaskan, pada Mac lalu, Gobi telah digantung jawatan dan tempat itu dipegang sementara Mohamad Zaini Jaafar.

Gobi dalam satu kenyataan media awal April lalu mengumumkan PBR adalah nama baru NewGen Party dan berharap agar dapat bergabung dalam Pakatan Harapan.

Nama Ezam disebut dilantik sebagai Presiden dan Khairuddin sebagai Timbalan Presiden PBR.- MalaysiaGazette

Parti Generasi Baru pimpinan Ezam pohon sertai PH