Khalid Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menunggu laporan rasmi daripada polis Thailand berhubung dakwaan aktivis Peter Chong yang beliau telah diculik ketika berada di negara itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sebarang tindakan lanjut akan diambil setelah menerima maklum balas daripada pihak berkuasa Thailand.

“Kita juga perlu semak fakta mengenai dakwaan Chong bahawa dia ke Hatyai untuk bertemu sumbernya berhubung kes kehilangan Pastor Raymond Koh Keng Joo….kita tidak terima sebarang andaian tanpa bukti,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan polis Hatyai tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan Chong yang juga pembantu Anggota Parlimen Subang R. Sivarasa bahawa beliau diculik di bandar itu dan dibawa ke Pattaya baru-baru ini.

Ketua Polis Hatyai Kolonel Kittichai Sankatavorn berkata, pihaknya akan membuat laporan terhadap Chong atas dakwaan mereka cerita palsu, sekiranya terbukti tiada laporan polis berhubung penculikan itu.

Chong dilaporkan hilang sejak 6 April lepas setelah kali terakhir dilihat di kediamannya di Bukit Ceylon di sini sebelum polis mengesannya memasuki Thailand melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah keesokannya. – MalaysiaGazette