Gambar hiasan

ALOR SETAR – Pas mahu merampas semula Kedah daripada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, sesuatu yang tidak dilihat baik.

Menurut laporan Kwong Wah Daily, walaupun Pas dikatakan berada dalam keadaan paling bersatu, tetapi parti itu tetap berdepan pelbagai cabaran getir untuk menakluk semula Kedah.

Dalam Pilihan Raya 2013, BN memperoleh 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah berbanding 15 kerusi yang dimenangi pembangkang sekali gus menafikan Pas kuasa untuk terus memerintah Kedah.

Dalam kalangan pembangkang Kedah, Pas memenangi sembilan kerusi, PKR(empat)dan DAP (dua) dalam Pilihan Raya 2013.

Prestasi Pas pada 2013 adalah kurang memberangsangkan berbanding 2008 di mana Pas mencapai kejayaan untuk memerintah walaupun berjuang secara solo. Pas justeru mahu mengulangi kemenangan pada 2008.

Namun begitu, perpecahan yang melanda Pas sebelum ini dan kemunculan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang didakwa mendapat sokongan pengundi luar bandar merupakan antara halangan yang dihadapi Pas jika mahu memerintah semula Kedah.

“Pas menyasarkan 24 DUN dan lapan kerusi Parlimen dalam pilihan raya akan datang, sesuatu yang sukar untuk dicapai.

“DAP, PKR, Amanah dan PPBM daripada Pakatan Harapan melihat Kedah sebagai medan tempur yang utama, PPBM yang membawa nama Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir merupakan pengaruh baharu yang tidak boleh dipandang ringan,” demikian lapor Kwong Wah Daily.

Dalam pada itu, Oriental Daily membangkitkan rekod pentadbiran Pas semasa ia memerintah Kedah dari 2008 hingga 2013.

“Seingat saya, tong sampah di bawah rumah pangsa dipenuhi longgokan sampah dan bau busuk sampah juga memenuhi kawasan kediaman rumah berteres.

“Dalam keadaan terdesak, penduduk terpaksa menghantar sendiri sampah ke tong sampah besar,” kata seorang penulis akhbar itu.

Penulis itu juga membayangkan bahawa isu kos hidup dan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak memberi kesan kepada undi untuk kerajaan negeri kerana isu berkenaan hanya boleh dikendalikan Kerajaan Pusat. – MalaysiaGazette