Adam Rosly
Gambar arkib Adam Rosly diiringi anggota penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia keluar dari Mahkamah Majistret Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 14 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dato Azam Baki mengesahkan pemimpin muda PKR, Adam Rosly akan didakwa esok di Mahkamah Jalan Duta.

Azam ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan perkara tersebut menerusi pesanan WhatsApp tetapi tidak menjelaskan pertuduhan yang akan dibuat terhadap Adam.

“Ya,” jawab Azam ringkas ketika ditanya.

Adam ditahan SPRM pada 13 April lalu ketika hadir untuk memberi keterangan berhubung siasatan.

SPRM juga telah menyita beberapa kereta mewah miliknya dan sebuah rumah di Ampang.

Adam dijangka akan dituduh mengikut Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 AMLATFAPUAA 2001 atas kesalahan memberi keterangan dan dokumen palsu ketika proses siasatan dijalankan.

Difahamkan Adam berdepan 15 pertuduhan membabitkan urusniaga yang dijalankannya.

Adam pada November tahun lalu menjadi perhatian apabila didedahkan memiliki kekayaan dianggap luar biasa oleh Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Jamal menyewa sebuah helikopter untuk membawa wartawan melihat pemandangan banglo Adam dari udara. Kediaman itu didakwa Jamal bernilai RM7 juta.

Beliau hadir untuk memberi keterangan kepada SPRM buat kali ketiga selepas melakukannya pada 10 dan 22 Februari lalu. – MalaysiaGazette