S. Subramaniam (dua kanan) menyampaikan sijil kepada How Yu Sheng (dua kiri) dan Tanesh Kumar A/L Gopal (kiri) setelah menjadi johan dalam bidang automotif pada Program Penyampaian Anugerah Tangan Emas di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 20 APRIL 2017.

PUTRAJAYA – Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam menasihatkan para pelajar khususnya belia India supaya memperkasakan diri dengan pendidikan kemahiran insaniah.

Kata beliau, kemahiran Insaniah akan melonjakan kredibiliti dan nilai bakal graduan sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan dengan ilmu dan pengalaman.

“Adalah penting untuk pelajar India memperkasakan diri dengan kemahiran insaniah yang menjadi asas persiapan diri menghadapi cabaran di dalam dunia kerjaya moden ini.

“Saya mahu pelajar memantapkan jati diri dengan aspek pelbagai kemahiran serta melaksanakan tugasan serba boleh (multi-skilling),” katanya selepas menyampaikan sijil dan piala kepada para pemenang Pertandingan Kemahiran Tangan Emas Gabungan Pusat Latihan Kemahiran India Malaysia di Kementerian Kesihatan di sini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam (tengah) beramah mesra bersama pelajar-pelajar dari Kolej Genius pada Program Penyampaian Anugerah Tangan Emas di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 20 APRIL 2017
Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam (tengah) bergambar bersama pelajar-pelajar Kolej Genius pada Program Penyampaian Anugerah Tangan Emas di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 20 APRIL 2017

Dalam perkembangan sama, Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata, menjadi kewajipan untuk pelajar memperlengkapkan diri dengan kemahiran insaniah seperti dikehendaki pasaran tenaga kerja semasa.

“Ini penting kerana negara memerlukan kira-kira 1.5 juta pekerja berkemahiran tinggi menjelang 2020.

“Bagi tujuan itu, Unit Khas Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) telah melatih 1,000 pelajar India melibatkan kos berjumlah RM15 juta sejak tahun 2016,” tegasnya.

Pada majlis tengah hari tadi, seramai 30 pelajar menerima sijil dan piala dalam sembilan kursus kemahiran yang dipertandingan, antaranya alektrik, kimpalan, sistem komputer, mekanik kenderaan motor (automotif), elektronik industri dan juruestetik (kecantikan). – MalaysiaGazette