Datuk Roslee Chik

NIBONG TEBAL – Polis Pulau Pinang menolak dakwaan kononnya negeri ini menjadi hab atau transit aktiviti pemerdagangan orang susulan kejadian 26 wanita warga Indonesia dijadikan buruh paksa oleh sebuah syarikat pembersihan di sini.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, kejadian itu meskipun melibatkan elemen eksploitasi pekerja atau perhambaan moden, namun merupakan insiden terpencil.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, Malaysia seperti negara lain memandang serius kejadian seumpama itu dan negara kini berada pada kedudukan kedua indeks pemantauan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan isu tersebut.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran keras kepada mana-mana majikan atau individu supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti memanipulasi atau eksploitasi pekerja termasuk menjadikan mereka buruh paksa.

“Setiap pekerja tidak boleh dinafikan hak untuk bercuti atau mendapatkan rawatan kesihatan sekiranya sakit.

“Malah, mereka juga tidak boleh dikurung di sesebuah kawasan atau premis dan diperlakukan sesuka hati oleh mana-mana individu atau majikan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-47 Pasukan Kor Kadet Polis Pulau Pinang di sini hari ini.

Polis negeri ini malam semalam dalam satu operasi khas berjaya menyelamatkan seramai 26 warga Indonesia berusia antara 42 hingga 22 tahun di sebuah rumah kedai yang dijadikan asrama di Bukit Mertajam dekat sini.

Siasatan polis mendapati, pekerja berkenaan mendakwa dipaksa bekerja tanpa dibayar gaji dan tidak diberikan cuti oleh majikan selain dilarang menggunakan telefon bimbit.

Pekerja terbabit juga tidak dibenarkan bergerak bebas serta dikawal rapi selain akan didenda sebanyak RM1,000 sekiranya melakukan kesalahan.

Dalam pada itu, Roslee berkata, pihaknya kini sedang giat mengenal pasti dalang dalam kejadian memperdagang warga Indonesia berkenaan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran ( ATIPSOM) 2007. – MalaysiaGazette