KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjangkakan untuk melihat lebih ramai anggotanya memilih skim persaraan patuh Shariah mulai 2018 dan seterusnya.

Ini adalah disebabkan oleh dividen positif yang diumumkan untuk 2017, kata Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

“Kami berpendapat bahawa skim persaraan patuh Syariah ini iaitu Simpanan Syariah, dijangka menjadi penggerak yang penting kepada landskap kewangan Islam memandangkan ia mampu meningkatkan permintaan terhadap produk kewangan Islam.

“Selain itu, Simpanan Syariah menumpu kepada prinsip-prinsip dalam tanggungjawab pelaburan sosial, salah satu bidang yang telah mendapat momentum dalam dunia pelaburan,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan Laporan Tahunan 2016 kumpulan dana itu di sini, hari ini.

Shahril berkata, selepas pendaftaran ditutup pada 23 Dis 2016, seramai 635,037 orang anggota telah menukar simpanan konvensional mereka kepada Simpanan Syariah yang mana sejumlah RM59.03 bilion telah diambil daripada peruntukan awal sebanyak RM100 bilion.

Beliau berkata, dengan kira-kira 45 peratus daripada aset pelaburan adalah berlandaskan shariah, sebelum pengenalan skim itu, KWSP dijangka meningkatkan aset-aset terbabit secara purata sebanyak RM25 bilion setahun. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan