Ruhanie Ahmad
Ruhanie Ahmad

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membuat pendirian berhubung keputusan mengenai usaha kerajaan membawa masuk pelaburan mega daripada China.

Pertubuhan pro Melayu itu membuat keputusan tidak menentang sebarang peluang perniagaan atau peluang memajukan ekonomi negara dengan membawa masuk pelabur besar daripada luar termasuk China dalam satu sidang meja bulat yang berakhir petang tadi.

Bagaimanapun, Perkasa melahirkan kebimbangan berkenaan polisi serta dasar kerajaan berhubung kesan pelaburan tersebut terhadap kedaulatan negara serta kepentingan kaum Melayu.

Menurut Naib Presiden Perkasa, Ruhanie Ahmad, dalam usaha kerajaan memajukan ekonomi negara, pemantauan daripada segi polisi serta dasar tidak boleh dipandang ringan.

“Perkasa mewujudkan rundingan meja bulat, tidak ada prejudis menentang sesiapa.

“Kebimbangan kami adakah pelaburan ini benar akan menjejaskan peluang pribumi dalam perniagaan,” katanya kepada media selepas rundingan meja bulat di Kuala Lumpur.

Rundingan meja bulat hari ini membincangkan khusus berkenaan isu tersebut dan ia dihadiri oleh empat orang panel utama antaranya, Presiden Institut Demokrasi & Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan serta Profesor Adjung Pengajian Ekonomi & Pembangunan Universiti Malaya, Dr. Kamil Salih.

Ruhaini berkata, kebimbangan mereka itu tidak menunjukkan bahawa pendirian kumpulan itu sebagai rasis kerana isu pelaburan tersebut turut melibatkan semua kaum bukan Cina di negara yang tidak mendapat peluang membida projek dari China.

Perkasa turut menggesa kerajaaan melaksanakan Indeks Pencapaian Utama (KPI) setiap enam bulan sebagai mekanisme pemantauan projek-projek yang dilaksanakan di negara ini melalui perjanjian dengan pelabur daripada China mahupun daripada negara-negara lain.

Sementara itu, Wan Saiful juga senada dengan Perkasa yang mahu pelaburan daripada tanah besar China itu mampu memberikan kebaikan kepada negara ini.

Ahli Panel, Wan Saiful Wan Jan pada Persidangan Meja Bulat Pertubuhan Peribumi Perkasa (PERKASA) bertajuk Pelaburan China Kesan Ekonomi dan Geopolitik di Hotel Regency, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 APRIL 2017
Ahli Panel, Wan Saiful Wan Jan pada Persidangan Meja Bulat Pertubuhan Peribumi Perkasa (PERKASA) bertajuk Pelaburan China Kesan Ekonomi dan Geopolitik di Hotel Regency, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 APRIL 2017

Namun, beliau menzahirkan kebimbangan yang sama mengenai isu korupsi dalam pentadbiran kerajaan terutama dalam pemberian tender yang masih dalam perhatian umum dan boleh dipertikaikan.

Justeru, satu pemantauan ketat perlu dibuat selain pihak kerajaan sendiri perlu penjelaskan mekanisme serta polisi yang diguna pakai dalam proses-proses pemberian tender dan sebagainya yang terlibat dalam pelaburan mega itu.

“Pada awalnya, kontrak ditandatangani tanpa ada tender terbuka. Jadi bukan sahaja syarikat Melayu tapi yang bukan Melayu juga tidak mempunyai peluang untuk bersaing,” katanya.
Pada tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat lawatan di China dan telah menandatangi sebanyak 14 perjanjian yang dikatakan bakal membawa pelaburan berjumlah RM144 bilion untuk negara ini.

Bagaimanapun, ia mendapat pelbagai reaksi daripada umum, baik dari kalangan badan atau individu yang pro kepda polisi kerajaan dan sebaliknya- MalaysiaGazette