Musa Awang

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) memandang serius tindakan individu dan syarikat tertentu yang tidak bertauliah menyediakan khidmat nasihat guaman syarie kepada masyarakat beragama Islam.

Sehubungan itu, Presidennya, Musa Awang menasihatkan orang ramai tidak mendapatkan khidmat daripada individu dan syarikat terbabit yang bukan dari kalangan peguam syarie bertauliah.

Jelas beliau, individu dan syarikat terbabit didapati mengiklankan khidmat nasihat guaman syarie, di samping menawarkan khidmat menyediakan dokumen tuntutan atau permohonan di Mahkamah Syariah.

“Kita tegaskan, mereka ini yang mengenakan bayaran tertentu melalui iklan dalam akhbar atau media sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya adalah kebarangkalian besar bukan seorang Peguam Syarie yang sah.

“Ini kerana menurut Etika No. 41, Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) No. 4 Tahun 2002, seorang peguam syarie tidak boleh mengiklankan dirinya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Musa, PGSM turut menasihatkan orang awam yang berurusan di Mahkamah Syariah berhati-hati agar tidak menggunakan khidmat mereka yang tidak bertauliah.

Orang ramai, ujar beliau, boleh menyemak dan mendapatkan senarai nama peguam syarie bertauliah di kaunter mahkamah atau di laman web Mahkamah Syariah termasuk menghubungi PGSM.

Kata Musa, pihaknya juga turut mengenalpasti beberapa kesalahan dilakukan pihak terbabit seperti individu dan syarikat berkenaan bukan firma peguam syarie yang beramal atau mempunyai tauliah.

“Terdapat juga orang perseorangan atau syarikat yang menawarkan pakej membawa pasangan bernikah ke luar negara dengan bayaran tertentu, dan kemudian membantu pasangan itu mendaftar pernikahan tersebut di Mahkamah Syariah,” katanya. – MalaysiaGazette