Abdul Rahman Dahlan

SUBANG JAYA: Kerajaan DAP Pulau Pinang didesak untuk menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya terlebih dahulu sebelum bertindak mengambil langkah drastik menaikkan Surcaj Pemuliharaan Air (SPA) domestik terhadap rakyat negeri itu.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, walaupun masih dalam bentuk cadangan, namun perkara itu tidak seharusnya dilaksanakan buat masa ini tatkala rakyat kian terhimpit dengan tekanan ekonomi dan kenaikan harga barang.

“Dulu (DAP) menang pilihan raya tahun 2008 dan 2013, saya masih ingat lagi apa sahaja yang dibuat oleh BN sebelum itu dianggap sebagai dasar yang menzalimi rakyat Pulau Pinang.

“Mereka katakan bahawa BN tidak mampu untuk menaikkan taraf hidup, dan menaikkan harga barang. Hari ini kita lihat apa juga telah dijanjikan semasa mereka mahu menjadi kerajaan pada 2008 masih tidak dikotakan, malah dilanggari,” katanya kepada media selepas menghadiri Bengkel Menteri ASEAN 2017 hari ini.

Kerajaan DAP Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng kelmarin berkata akan menaikkan SPA bagi penggunaan domestik adalah sebagai sebahagian daripada usaha menggalakkan penggunaan air secara bijak dalam kalangan rakyat negeri ini.

Ketua Menteri itu berkata, SPA akan dinaikkan daripada 48 sen kepada RM1 setiap 1,000 liter air untuk penggunaan melebihi 35,000 liter sebulan sebagai langkah terakhir mengurangkan kadar pembaziran air di Pulau Pinang.

Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, cadangan ke arah itu membuktikan bahawa Guan Eng gagal mengurus sumber ekonomi malah turut gagal menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul di negeri itu sejak mengambil alihnya daripada kerajaan BN.

“Mereka juga katakan kerajaan BN tidak dapat menyelesaikan masalah lalulintas, apakah masalah lalulintas di Pulau Pinang telah diselesaikan (oleh DAP). Apa kerajaan DAP janjikan kepada rakyat Pulau Pinang yang telah dikotakan.

“Apa yang kita tahu adalah mereka masih lagi cuba untuk menyembunyikan kelemahan mereka dalam bidang ekonomi dengan menaikkan surcaj perkhidmatan air dan menjual tanah kerajaan negeri.

“Banyak aktiviti penjualan tanah kerajaan negeri begitu berleluasa sekali sehinggakan NGO Pulau Pinang berasa cemas dalam keadaan ini,” katanya lagi.

Sebelum ini UMNO Pulau Pinang menyifatkan cadangan untuk menaikkan kadar surcaj penggunaan air domestik atas alasan pemuliharaan air adalah tidak wajar dan akan membebankan pengguna.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, kadar surcaj mula diperkenalkan pada November 2010 dan kempen penjimatan air oleh kerajaan negeri dengan mengenakan SPA gagal mengurangkan penggunaan air per kapita Pulau Pinang.

Dalam manifesto DAP Pulau Pinang sebelum ini, Guan Eng menjanjikan akan memberikan ekonomi dinamik untuk masa depan Pulau Pinang, isu sosial dan alam sekitar, Malaysia global yang berakal, mengekalkan pilihan raya kerajaan tempatan serta menghormati kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia.

Turut tersenarai dalam manifesto berkenaan ialah usaha mengatasi kesesakan lalu lintas dan pengangkutan awam. -MalaysiaGazette.