JERMANĀ – Bastian Schweinsteiger percaya bekas rakan sepasukan Manchester United, Zlatan Ibrahimovic perlu membuat langkah bijak jika mengikuti jejaknya dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS) di Amerika Syarikat.

Pemenang Piala Dunia, Schweinsteiger meninggalkan United bulan lalu untuk menyertai Chicago Fire dan sudah meledak dua gol dalam empat perlawanan pertamanya.

Masa depan Ibrahimovic di United kini menjadi tidak menentu dan dia mungkin bermain perlawanan terakhirnya untuk skuad Jose Mourinho selepas mengalami kecederaan lutut serius dalam kemenangan Liga Europa ke atas Anderlecht, minggu lalu.

Pemain Sweden itu telah menjaringkan 28 gol dalam musim pertamanya di United dan Schweinsteiger berpendapat perpindahan ke MLS adalah realistik untuk Ibrahimovic.

Ditanya oleh stesen televisyen Sport1 jika Ibrahimovic perlu berpindah ke Amerika Syarikat, Schweinsteiger menjawab; “Sudah pasti pemain sepertinya sangat penting dalam liga seperti MLS.

“Dia seorang ahli sukan sangat profesional dan benar-benar memberikan banyak kualiti di atas padang.

“Dia mungkin (sedikit aneh) dan kadang-kadang saya fikir dia bukan sengaja tetapi sebagai pemain bola sepak, dia benar-benar salah seorang yang terbaik yang pernah saya bermain bersama.

“Dia mempunyai pandangan yang sangat baik dan yang menarik perhatian saya.” – MalaysiaGazette