Wee Ka Siong

JASIN – Penyampaian lebih efektif subjek Bahasa Melayu di sekolah terutamanya sekolah vernakular perlu dipertingkatkan bagi memperkasa penguasaan mata pelajaran itu dalam kalangan pelajar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, bagi mencapai objektif itu, peranan guru amat penting dalam membudayakan penggunaan bahasa Melayu yang betul di samping menyediakan persekitaran belajar yang lebih kondusif.

Katanya, guru juga perlu berperanan mengatasi kelemahan pertuturan dalam kalangan pelajar termasuk masalah sukar menyebut atau pelat dengan mengamalkan penggunaan perkataan dalam bahasa Melayu yang jarang diguna pakai.

“Perlu sentiasa mencari kaedah yang berkesan untuk mengangkat martabat bahasa Melayu dan bukannya dari segi waktu (pengajaran dan pembelajaran) semata-mata.

“Selain itu, ibu bapa pada masa kini dilihat telah mempunyai kesedaran yang tinggi tentang kepentingan menguasai bahasa Melayu bagi meningkatkan kemahiran dan kefasihan anak mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yu Hsien di sini hari ini. Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bemban Datuk Ng Choon Koon.

Pada majlis itu, Orando Holdings Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Dr Eng Wei Chun menyerahkan cek bernilai RM50,000 sebagai sumbangan bagi tujuan penambahbaikan dan penyenggaraan sekolah itu.

Mengulas lanjut, Wee yang juga timbalan presiden MCA berkata seiring dengan perkembangan globalisasi, pembelajaran dalam talian dilihat antara medium pendidikan yang penting pada masa kini.

“Pelbagai aplikasi yang mudah diakses termasuk kamus elektronik dan ‘e-learning’ merupakan inisiatif yang berguna kepada pelajar-pelajar bagi mempertingkat dan mengaplikasikan penggunaan bahasa Melayu dengan lebih baik.

“Selain itu, tindakan proaktif Dewan Bahasa dan Pustaka turut membantu kepada usaha menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat di negara ini termasuk murid melalui program-program yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, ini selaras dengan amanat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang ingin memastikan pelajar sekolah aliran Cina dan Tamil mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik dalam usaha memperkukuhkan perpaduan negara. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan