ALOR SETAR – Seramai 11 daripada kesemua 17 mangsa ribut yang melanda tapak ekspo sempena Muktamar Pas ke-63 dirujuk ke hospital.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, mereka kini mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah.

Pihaknya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada agensi awam dan orang ramai yang membantu mangsa kejadian.

Pihaknya juga simpati dan mendoakan kesejahteraan ke atas mangsa-mangsa terlibat.

“Kejadian berkenaan melibatkan beberapa buah khemah Kelab Usahawan Haraki Pas yang menempatkan agensi kerajaan dan persendirian,” katanya dalam kenyataan lewat malam semalam.

Pihak Panitia Muktamar serta PAS Kedah ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Amal Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat, pegawai kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Medic Papisma dan St. John Ambulance yang telah membantu mangsa di tempat kejadian.

Sementara itu, menurut Ahmad Fakruddin, semua aturcara program Muktamar Tahunan Pas ke-63 yang tidak melibatkan tapak ekspo adalah berjalan seperti biasa.
“Marilah kita mendoakan semoga dua hari tempoh muktamar yang berbaki berlangsung dengan aman dan sejahtera,” ujarnya.- MalaysiaGazette