JOHOR BAHRU – Seramai 41 pemain termasuk pegawai kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menzahirkan komitmen untuk memastikan sukan bola sepak tanahair bebas daripada anasir jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Ia sekali gus menjadikan JDT sebagai pasukan bola sepak yang pertama dari selatan tanah air menandatangani IBR.

Pada majlis tersebut, Safiq Rahim telah mengetuai upacara melafaz dan menandatangani IBR yang disertai pemain dan pegawai-pegawai lain.

Majlis yang berlangsung Hotel Thistle di sini itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan), Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil.

Turut hadir Presiden Persatuan Bolasepak Johor, Datuk Ismail Karim; Naib Presiden I, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias.

Ismail berkata, kerjasama dengan SPRM adalah untuk memenuhi hasrat dan titah Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya kelab ini mempunyai integriti yang tinggi dan bebas dari gejala rasuah.

Shamshun berkata, usaha yang dilaksanakan oleh SPRM bersama JDT ini secara tidak langsung dapat mengelakkan berlakunya isu-isu rasuah dan mengatur perlawanan dalam arena bola sepak tanahair sekali gus memastikan ia berjalan dengan baik.

Jelas Shamshun, menerusi kerjasama ini, semua pihak sudah mempunyai tempat rujukan sekiranya rasuah dan mengatur perlawanan berlaku dalam arena bola sepak tanah
air selepas ini. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan