KUALA LUMPUR – Belian bersih pelabur asing dalam saham tersenarai di Bursa Malaysia meningkat kepada RM1.45 bilion pada minggu berakhir Jumaat lalu berbanding RM283 juta minggu sebelumnya.

Trend itu dipacu oleh pengukuhan ringgit, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).

Dalam laporan mingguannya, firma penyelidikan itu berkata, pada minggu tersebut, pelabur asing membeli dan menjual saham, masing-masing sebanyak RM3.4 bilion dan RM1.95 bilion

MIDF berkata, jumlah dagangan saham itu tidak termasuk tawaran di luar pasaran.

“Penyertaan pelabur asing di Bursa Malaysia kukuh minggu lalu kepada tahap tinggi. Nilai purata dagangan harian (ADTV) naik 56 peratus kepada RM1.34 bilion.

“Malah, nilai dagangan harian asing melepasi RM1 bilion bagi setiap hari pada minggu tersebut,” katanya.

Kedudukan ringgit yang ditutup pada RM4.34 berbanding dolar Amerika Syarikat atau kenaikan 1.32 peratus berbanding minggu sebelumnya turut memacu penyertaan pelabur asing.

Paras ringgit itu berlarutan untuk minggu ketiga, katanya.

MIDF berkata, pengukuhan ringgit sebahagiannya disokong daripada sentimen selepas Bank Negara Malaysia (BNM ) langkah tepat pada masanya untuk meningkatkan liberalisasi dalam pasaran pertukaran asing. – MalaysiaGazette