Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat PERKASA, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 02 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menghantar surat balas kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai respon kepada desakan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) berhubung isu status Dr. Zakir Naik.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, langkah tersebut diambil bagi menjelaskan tuduhan tidak berasas yang dibuat oleh Hindraf kepada Jawatankuasa Memerangi Keganasan Majlis Keselamatan (CTC) PBB yang mendesak  Malaysia agar membatalkan status Pemastautin Tetap (PR) diberikan kepada Zakir.

“Kami rasa bertanggungjawab untuk menjawab surat beliau (Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy) yang membuat tuduhan kepada Dr. Zakir, tindakan ini bukan semata-mata untuk membela Dr. Zakir tapi juga membela maruah negara kita,” kata Ibrahim dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Dalam surat yang ditujukan kepada Pengerusi CTC, Amr Abdellatif Aboulatta, Perkasa – sebuah pertubuhan pendesak orang Melayu – menegaskan, Zakir bukan seorang pelarian dari India malahan status PR yang diberi adalah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah pada lima tahun lalu.

Selain itu, Perkasa juga menjelaskan Zakir juga penerima Tokoh Maal Hijrah pada 2013 lalu sebagai bukti penghargaan kerajaan Malaysia ke atas jasa dan sumbangannya kepada pembangunan Islam.

“Mereka membuat tuduhan palsu kepada Dr. Zakir dan menjadikannya sasaran selepas banyak sami kalah dalam debat dengan Dr. Zakir dan mereka sebenarnya cemburu,” kata Perkasa dalam surat tersebut yang dibacakan Ibrahim.

Menurut surat yang dihantar itu lagi, Ibrahim menjelaskan, dakwaan Hindraf kononnya masyarakat bukan Islam menolak kehadiran Zakir juga tidak benar.

“Ini adalah kenyataan yang sengaja dibuat untuk merendahkan reputasi Dr. Zakir,” katanya sambil menjelaskan pembohongan yang pernah dilakukan Hindraf pada tahun 2007 apabila mendakwa wujud pembersihan etnik berlaku di Malaysia walhal ia tidak pernah berlaku seperti didakwa mereka.

“Mereka menghantar e-mail kepada Gordon Brown, Perdana Menteri Britain mendakwa berlaku pembersihan etnik dimana kaum India dibunuh oleh kerajaan Malaysia,” katanya lagi.

Disebalik semua tuduhan mereka terhadap Zakir, Ibrahim berkata, Hindraf sebenarnya sebuah kumpulan pengganas apabila pernah dibuktikan cuba mendapatkan bantuan daripada kumpulan pengganas luar, Tamil Tigers Eelam (LTTE).

Penglibatan Hindraf dengan LTTE didedahkan sendiri oleh bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada tahun 2007 dimana wujud bukti wujud usaha mendapatkan bantuan luar.

“Jika saya tidak mengambil langkah susulan membalas surat Hindraf ini, dibimbangi jika tidak dijawab hasutan itu akan jadi betul,” kata Ibrahim lagi.

Surat tersebut dihantar pada 29 April lalu sehari selepas surat dihantar Hindraf kepada CTC.

Dalam surat tersebut, Hindraf menggesa CTC menasihati kerajaan Malaysia agar membatalkan status PR diberikan kepada Zakir Naik ekoran pelbagai laporan mengaitkan pendakwah kontroversi dari India itu dengan aktiviti keganasan. – MalaysiaGazette