KATHMANDU, 1 Mei -- Peserta-peserta Cabaran Annapurna 2017 Media bersama anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang gergasi sebaik tiba di Annapurna Base Camp (ABC) kira-kira 12 tengah hari waktu tempatan hari ini. Seramai 62 peserta pendakian akan memulakan ekspedisi bermula 24 April hingga 5 Mei dan bakal memahat nama dalam Malaysia Book of Record apabila menjadi kumpulan terbesar dari Malaysia menyertai ekspedisi ke bumi Nepal. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

POKHARA – Pagi Ahad lalu sekumpulan 62 terdiri daripada pengamal media dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat mencipta sejarah tersendiri menakluk Kem Pangkalan Annapurna (ABC) di Nepal.

Pada ketinggian 4,130 meter, peserta pertama tiba pada pukul 11.20 pagi selepas bertolak dari Kem Deurali pada 7.30 pagi sebelum kesemua peserta berjaya tiba dengan selamat pada 2 petang.

Ribut salji dan trek licin dengan suhu sejuk mencecah negatif 5 darjah selsius semasa pertengahan pendakian ternyata tidak mematahkan semangat peserta meneruskan misi Cabaran Annapurna 2017.

Ia sekali gus bakal mencatat sejarah dalam Malaysia Book Of Records bagi kategori peserta paling ramai dari Malaysia berjaya menawan ABC.

WhatsApp Image 2017-05-02 at 1.58.22 AM

Lebih bermakna, mereka juga mengibarkan Jalur Gemilang gergasi bersaiz 6 x 12 meter, seberat 11 kilogram di ABC selain menyanyikan lagu Negaraku dan Jalur Gemilang.

 

Ketua ekspedisi Fazli Ahmad berkata, kejayaan itu merupakan sesuatu yang amat membanggakan memandangkan peserta ekspedisi terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang pekerjaan.

“Pada peringkat awal semasa kami merancang untuk mengadakan ekspedisi ini lapan bulan lalu, ramai yang meragui kemampuan anggota jawatankuasa dan peserta sendiri untuk menjayakan misi ini.

WhatsApp Image 2017-05-02 at 1.57.22 AM

“Namun hasil kerjasama berpasukan, semua peserta tanpa mengira kerjaya iaitu pengamal media, bomba dan pasukan perubatan, kami berjaya sampai selepas menempuh perjalanan sejauh 41 kilometer sepanjang empat hari ekspedisi, ” katanya.

Kumpulan itu yang terdiri daripada 31 pengamal media serta 21 anggota dan pegawai bomba dan lima wakil Kementerian Kesihatan Malaysia dan lima lagi wakil belia memulakan pendakian pada Khamis lepas.

Turut bersama ialah wakil portal Malaysia Gazette iaitu jurugambarnya, Noor Asreykuzairey Salim.

Menurut Noor Asreykuzairey, kejayaan mereka disambut dengan perasaan bangga sehingga peserta yang menangis kegembiraan.

Beliau berkata, selepas menempuh pelbagai halangan dan rintangan baik fizikal dan emosi, kejayaan menakluki ABC merupakan satu kenangan manis yang tidak akan dilupakan sepanjang hidup mereka.

“Insya Allah jika diberi peluang kami juga berhajat menakluk Everest Base Camp selepas kejayaan di ABC,” ujarnya mewakili rakan-rakannya yang lain. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan