LONDON – Pemain Everton dan bekas tonggak tengah England, Aaron Lennon ditahan polis mengikut Akta Kesihatan Mental dan menerima rawatan membabitkan tekanan dihadapinya.

Menurut kenyataan kelab itu, pemain berusia 30 tahun berkenaan yang tidak beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak 11 Februari lalu telah dibawa ke hospital.

“Seorang lelaki 30 tahun ditahan mengikut Seksyen 136 Akta Kesihatan Mental dan sudah dibawa ke hospital untuk melakukan penilaian,” kata polis Manchester.

Everton sudah mengeluarkan kenyataan berhubung perkembangan ini.

“Aaron Lennon kini di bawah jagaan dan menerima rawatan bagi penyakit berkaitan tekanan.

“Kelab akan memberi sokongan kepada Lennon dan keluarganya yang merayu supaya tidak diganggu buat masa sekarang,” katanya.

Lennon menyertai Everton dari Tottenham Hospurs pada September 2015 dengan nilai perpindahan 4 juta pound (RM22. 3 juta) dan pernah beraksi di Piala Dunia 2006 dan 2010.

Mengikut Akta Kesihatan Mental, polis boleh menahan mana-mana individu untuk dinilai sama ada memerlukan rawatan segera kerana berisiko mendatangkan situasi bahaya kepada diri sendiri atau orang lain. – MalaysiaGazette