Tiada Lagi Sebutan Serta Ejaan "Malacca"

MELAKA – Ejaan serta sebutan ‘Malacca’ terutamanya dalam bahasa Inggeris yang merujuk kepada negeri Melaka tidak boleh lagi diguna pakai, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Naim Abu Bakar.

Beliau berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka memutuskan bahawa ejaan bagi negeri itu dalam bahasa Inggeris hendaklah menggunakan ejaan ‘Melaka’ iaitu sama seperti ejaan dalam bahasa Malaysia.

Justeru, katanya semua akhbar dan media sama ada Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa hendaklah menggunakan ejaan ‘Melaka’ dalam penulisan atau sebutan pada setiap penerbitan mereka.

Penyelarasan ini bertujuan untuk menyeragamkan penggunaan nama ‘Melaka’ sama ada dalam bentuk penulisan atau sebutan dalam semua media khususnya yang berbahasa Inggeris, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri berharap penyelarasan penggunaan nama Melaka ini dihebahkan kepada semua pihak yang terlibat dan mengharapkan kerjasama pihak media dalam isu ini. — BERNAMA