Adam Rosly Abdullah.

KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah mendesak Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan butiran dana yang diterima badan bukan kerajaan (NGO), Invoke di bawah kekolaan Razifi.

Adam yang kini direhatkan dalam parti memberikan tiga syarat kepada Ahli Parlimen Pandan itu agar segera mendedahkan tuduhan yang dilemparkan terhadap NGO berkenaan.

“Dalam usaha untuk mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap Keadilan dan pembangkang, dan selaras dengan prinsip yang kerap beliau laungkan iaitu prinsip ketelusan.

“Saya menyeru Rafizi Ramli mendedahkan dalam masa 48 jam bermula hari ini dengan menyatakan jumlah wang yang telah dikumpulkan daripada orang ramai oleh NGO beliau Invoke dan NOW, bagaimana wang telah dibayar setakat ini, dan menamakan semua individu yang telah menerima dana yang dikumpul oleh Invoke,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adam memberikan reaksi demikian setelah berlaku percakaran antara Rafizi dengan peguam Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Latheefa Koya baru-baru ini.

Ia berikutan pendedahan Rafizi mengenai logo terbaru Pakatan Harapan yang mendapat kritikan netizen malah turut tidak dipersetujui oleh pemimpin PH.

Justeru menurut Adam, beliau mendesak Rafizi agar mendedahkan butiran dana berkenaan kerana melibatkan parti dan Rafizi dilihat gagal berbuat demikian.

“Kebimbangan terbesar adalah terhadap kutipan dana secara besar-besaran daripada orang ramai bagi pihak Rafizi, Invoke dan NOW, ini koleksi wang daripada orang awam secara berterusan.

“Satu perkara aneh apabila Rafizi telah gagal untuk mendedahkan butiran pengumpulan dana tersebut, walaupun beliau sering menyeru semua pihak, iaitu BN dan pembangkang, untuk mengisytiharkan aset mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Adam turut mendakwa kebanyakan pemimpin parti tersebut sememangnya tidak berpuas hati dengan bekas Setiausaha Agung PKR itu.

Ujarnya, tiada tindakan dilaporkan setakat ini terhadap Rafizi demi menjaga perpaduan dan reputasi parti itu di peringkat akar umbi.

“Saya tidak boleh berdiam diri lagi. Saya dan ramai pemimpin parti dan aktivis telah lama bersabar dengan beliau bagi memelihara perpaduan dan reputasi PKR.

“Walau bagaimanapun, kepentingan awam perlu diberi keutamaan,” katanya.

Jelas Adam, sekiranya Rafizi gagal mematuhi tuntutan tersebut, beliau akan mengambil tindakan sewajarnya demi memelihara keyakinan pengundi terhadap PKR.

Dalam mesej kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Latheefa dipercayai ‘mengherdik’ logo berkenaan sambil mendakwa Rafizi memalukan parti sambil mendakwa Rafizi mengutip banyak wang orang awam untuk tujuan itu sebelum ini. – MalaysiaGazette.