LANGKAWI – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) melihat 2017 sebagai tahun yang sesuai untuk meningkatkan jumlah kedatangan pelancong dari Timur Tengah berikutan misi yang dilakukan ke Pameran Pelancongan Arab di Dubai baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA Datuk Azizan Noordin yang mengetuai delegasi agensi itu dalam misi berkenaan, berkata penyertaan mereka dalam pameran itu sangat membuahkan hasil, dan peserta industri perlu menyediakan diri mulai sekarang untuk menyambut kedatangan lebih banyak pelancong dari Timur Tengah.

“Misi ini sangat berjaya. Kami bertemu banyak pengusaha pelancongan Arab yang bersedia memasukkan Langkawi ke dalam pakej pelancongan mereka,” katanya ketika ditemui semalam.

Misi itu termasuk bertemu pemilik syarikat penerbangan terkemuka iaitu Emirates, Etihad dan Qatar Airlines, untuk meneroka kemungkinan bagi syarikat terbabit memulakan penerbangan terus antara Langkawi dan destinasi mereka di Timur Tengah.

“Sungguhpun kita sudah menerima penerbangan terus dari Singapura dan China, tetapi kita juga perlu mengadakan penerbangan terus dari Timur Tengah dan India, untuk meningkatkan jumlah ketibaan pelancong dari negara berkenaan,” katanya.

“Azizan berkata pelancong dari Timur Tengah membentuk jumlah pelancong ketiga terbesar yang berkunjung ke Langkawi tahun lepas, di belakang negara anggota ASEAN dan China.

Sungguhpun mereka hanya mewakili kira-kira 20 peratus daripada 3.64 juta pelancong yang datang ke pulau ini pada 2016, beliau berkata tempoh menginap dan jumlah perbelanjaan mereka jelas lebih tinggi berbanding pelancong lain.

Katanya berdasarkan statistik Tourism Malaysia tahun lepas, purata tempoh menginap pelancong Arab di Malaysia adalah 10.1 malam, manakala purata perbelanjaan adalah RM8,000 sehari setiap orang.

Pelancong dari negara lain mencatatkan purata penginapan 6.2 malam dengan purata perbelanjaan RM2,800 sehari setiap orang, katanya.

“Bagi Langkawi, pelancong Arab akan menginap di hotel empat dan lima bintang dan tidak akan berfikir panjang untuk mencuba semua produk pelancongan (premium) seperti pelayaran santai, tinjauan menerusi helikopter, melawat hutan bakau dan menaiki kereta kabel,” katanya.

— BERNAMA