Budiman Mohd Zohdi

KUALA LUMPUR – Tindakan Rafizi Ramli dan peguam kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Latheefa Koya ‘bergaduh’ di dalam kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR gara-gara isu logo Pakatan Harapan hanya dibuat-dibuat bagi menutup pergolakan yang berlaku di dalam pakatan tersebut di Selangor.

Bagaimanapun perbuatan Naib Presiden PKR dan Latheefa itu, menurut Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi adalah tindakan kebudak-budakan kerana mereka bergaduh hanya di atas soal remeh dan bukan atas soal isu rakyat yang dikira lebih makro dan penting.

“Sebenarnya bukan mudah memimpin sebuah organisasi yang asasnya cacamerba dan kita tengok hari ini mereka bergaduh dalam soal yang remeh, soal logo dan mungkin pertembungan ini adalah pertumbungan yang dibuat-buat atau sengaja diadakan untuk menutup pergolakkan yang ada di negeri Selangor.

“Semua sedia maklum di Selangor ini Pakatan Harapan sungguh rapuh. Hasil daripada Muktamar Pas baru-baru ini menunjukkan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali memang dalam keadaan tidak stabil.

“Bagi saya kalau mereka bergaduh soal polisi, soal dasar bolehlah dikira lebih baik tetapi mereka ambil keputusan untuk bergaduh soal logo. Banyak perkara baru mereka sengaja cipta hanya bertujuan untuk menutup isu sebenar,” kata Budiman.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada pelancaran buku hasil karya beliau sendiri berjudul ‘Sejuta Jiwa Yang Telanjang’ sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ketika ditanya adakah tindakan pertelingkahan tersebut memberi peluang yang baik kepada Barisan Nasional (BN), Budiman berkata, parti itu tidak akan bergantung kepada kekalutan yang berlaku di barisan pembangkang.

Sebaliknya UMNO dan BN katanya, masih bergantung kepada kekuatan parti itu sendiri yang perlu kepada kepimpinan yang lebih jelas dan kekuatan dalaman parti.

“Ini bukan soal mengambil kesempatan daripada kekalutan di pihak lawan tetapi membina apa sebenarnya kekuatan di dalam BN.

“Di peringkat akar umbi BN sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU14) akan datang,” katanya ringkas.

Terdahulu kedua-dua pemimpin PKR, masing-masing Rafizi dan Latheefa, dilihat ‘meroyan’ macam budak-budak sehingga mengecam sesama sendiri berhubung isu logo PH.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan semalam memuat naik gambar cadangan logo PH di akaun Facebook miliknya, bagaimanapun ia menerima kritikan teruk daripada netizen yang majoriti menyifatkan ia satu rekaan yang buruk dan teruk. – Malaysia Gazette